Pelaburan RM150 Juta Perkukuh Lawas Sebagai Hab Ekonomi Baharu Utara Sarawak
LAWAS: Pelaburan sektor swasta bernilai RM150 juta menerusi pembangunan Lepapa Hypermarket dan Roxy Hotel dijangka menjadi pemangkin baharu kepada pertumbuhan ekonomi Lawas, sekali gus memperkukuh peranannya sebagai hab perdagangan, perkhidmatan dan pelancongan di utara Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pelaburan berskala besar itu mencerminkan keyakinan tinggi pelabur terhadap potensi pembangunan Lawas serta hala tuju ekonomi yang dirancang Kerajaan Sarawak.
Menurut beliau, kerjasama erat antara kerajaan dan sektor swasta amat penting dalam mempercepat pembangunan ekonomi, menarik lebih banyak pelaburan serta mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
“Apabila sektor swasta sanggup melabur dalam jumlah yang besar, ini menunjukkan mereka yakin terhadap potensi Lawas serta dasar pembangunan yang dilaksanakan kerajaan.
“Kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta amat penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Lepapa Hypermarket dan Roxy Hotel di sini, pada Sabtu.
Datuk Amar Awang Tengah menambah, pembangunan tersebut dijangka memberi limpahan manfaat kepada pelbagai sektor ekonomi termasuk perdagangan, pelancongan dan perkhidmatan, selain membuka lebih banyak peluang kepada usahawan tempatan untuk mengembangkan perniagaan mereka.
Katanya, pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur strategik di Lawas dan wilayah utara Sarawak turut menjadi pemangkin kepada peningkatan keyakinan pelabur untuk melaksanakan pembangunan berskala besar di kawasan tersebut.
Pada majlis sama, Tecktonic & Sons Holdings Sdn. Bhd. turut menyampaikan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) berjumlah RM50,000 kepada lima organisasi tempatan sebagai usaha menyokong pembangunan komuniti dan kebajikan masyarakat.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Pengarah Wilayah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) Datu Ubaidillah Abdul Latip, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa serta Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok. -EDISI UKAS