Penduduk Miri Diminta Bersedia Hadapi Gangguan Bekalan Air Berjadual
MIRI: Penduduk di Miri khususnya pengguna yang terlibat dengan gangguan bekalan air berjadual susulan kerja pembaikan paip utama Miri-Bintulu diminta membuat persediaan awal serta mengikuti pengumuman rasmi dari semasa ke semasa.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pelaksanaan kerja pembaikan tersebut telah dirancang secara terperinci oleh pihak berkuasa berkaitan dengan kerjasama pelbagai agensi bagi memastikan impak gangguan kepada pengguna dapat diminimumkan.
Menurut beliau, sistem bekalan air utama di Miri bergantung kepada dua saluran paip besar berdiameter 1,100 milimeter dan 750 milimeter yang menjadi tulang belakang kepada bekalan air bandar.
Katanya, kebocoran telah dikesan pada salah satu saluran paip berkenaan dan pemeriksaan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti lokasi sebenar kerosakan sebelum kerja pembaikan dilaksanakan.
“Pengguna turut diberikan tempoh secukupnya untuk membuat persediaan awal termasuk menyimpan bekalan air dan memastikan tangki simpanan masing-masing diisi sepenuhnya sebelum kerja pembaikan bermula.
“Semua maklumat telah diedarkan kepada pengguna melalui hebahan, infografik dan pelbagai saluran lain. Saya berharap rakyat dapat bekerjasama dan membuat persediaan mengikut perancangan yang telah ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Program Sembang Santai anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pengkalan Lutong dan Kelab Wanita Lutong dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bahagian Miri di Dewan Serbaguna Kampung Baru Lutong, pada Sabtu.
Tambah beliau, kerja pembaikan paip yang bocor itu dijadual bermula pada 10 Jun dan dijangka siap pada 11 Jun dengan tempoh pelaksanaan sekitar 24 jam.
Menurutnya, pihak berkuasa turut menyediakan lori tangki air serta kemudahan lain bagi membolehkan orang ramai mendapatkan bekalan air sekiranya diperlukan sepanjang tempoh gangguan.
Dalam pada itu, Dato Sri Lee berkata, pemantauan berterusan akan dilakukan sepanjang tempoh pelaksanaan kerja pembaikan bagi memastikan maklumat terkini dapat disalurkan kepada orang ramai menerusi media sosial, radio serta saluran rasmi lain.
“Jika terdapat keperluan untuk melanjutkan tempoh kerja, maklumat akan dimaklumkan segera kepada orang ramai. Oleh itu, saya menasihatkan penduduk agar sentiasa mengikuti pengumuman rasmi bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai status bekalan air sepanjang tempoh pelaksanaan kerja pembaikan ini,” ujarnya.-EDISI UKAS