RM50,000 Disalurkan Untuk Perkasa Kepimpinan Akar Umbi Engkilili
ENGKILILI: Persatuan Ketua Masyarakat Engkilili menerima suntikan peruntukan sebanyak RM50,000 sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkasakan institusi kepimpinan masyarakat di peringkat akar umbi.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia merangkap Ahli Parlimen Bintulu, Dato Sri Tiong King Sing berkata, peruntukan tersebut bertujuan membantu pelaksanaan pelbagai aktiviti kemasyarakatan serta memperkukuh peranan pemimpin masyarakat dalam menyokong pembangunan komuniti setempat.
“Peruntukan tersebut juga dijangka membantu pelaksanaan program pembangunan komuniti yang memberi manfaat secara langsung kepada penduduk di kawasan Engkilili,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Merarau Hari Gawai 2026 di Dewan Dr Johnicol Rayong Ngipa, Skim Skrang, di sini, pada Ahad.
Menurut beliau, ketua masyarakat dan pemimpin akar umbi memainkan peranan penting sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat dalam menyampaikan keperluan komuniti serta memastikan agenda pembangunan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Majlis yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Induk Skim Skrang dengan kerjasama Persatuan Ketua Masyarakat Engkilili itu berjaya menghimpunkan kira-kira 1,370 tetamu.
Sambutan berkenaan menjadi platform penting untuk mengeratkan hubungan silaturahim, memupuk semangat muafakat serta memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum sempena perayaan Hari Gawai Dayak.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pengangkutan Sungai Sarawak Datuk Henry Harry Jinep, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan, Dato Sri Wong Soon Koh, ADUN Engkilili Johnicol Rayong Ngipa, ADUN Krian Friday Belik dan ADUN Meluan Roland Duat. -EDISI UKAS