SIMANGGANG: Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) ditegaskan untuk mengelakkan amalan melantik ahli keluarga terdekat ke jawatan penting organisasi bagi memastikan integriti, ketelusan dan keberkesanan pentadbiran terus terpelihara.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis berkata, budaya nepotisme dalam organisasi komuniti boleh menjejaskan keyakinan masyarakat serta berpotensi mempengaruhi proses membuat keputusan.
Menurut beliau, pelantikan jawatan penting dalam JKKK perlu dibuat berdasarkan kelayakan dan kemampuan individu, bukannya hubungan kekeluargaan.
“Contohnya, seseorang pengerusi JKKK tidak boleh bertindak melantik abangnya sebagai timbalan, menantu sebagai setiausaha atau isteri sendiri sebagai bendahari kerana ia boleh menyalahi garis panduan rasmi penubuhan dan pentadbiran organisasi tersebut.
“Budaya seperti ini perlu ditepis demi menjaga integriti, ketelusan dan keberkesanan organisasi. Pelantikan individu yang layak akan meningkatkan keyakinan komuniti terhadap JKKK,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Rumah Terbuka Gawai Dayak di kediaman Penghulu Biju Anggat di Taman Tiara Sri Aman, pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) memainkan peranan penting sebagai penghubung antara masyarakat dan kerajaan dalam menyampaikan keperluan serta aspirasi komuniti.
Katanya, hubungan yang baik antara KMKK dengan agensi kerajaan seperti Pejabat Residen dan Pejabat Daerah membolehkan pelbagai program serta projek pembangunan dilaksanakan dengan lebih berkesan demi manfaat penduduk.
“Jika hubungan baik ini dapat dikekalkan, tidak mustahil sesebuah kawasan dapat berkembang dengan lebih baik melalui pelaksanaan pelbagai program dan projek pembangunan,” ujarnya.
Pada majlis tersebut, beliau turut menyampaikan cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM20,000 kepada enam JKKK dalam kawasan DUN Simanggang.
Penerima peruntukan tersebut ialah JKKK Taman Tiara Brayun, JKKK Brayun Teratai, JKKK Bayu A Taman Nanang, JKKK Taman Nanang dan Munggu Sabun, JKKK Jalan Batang Lupar serta JKKK Taman Vistagro. -EDISI UKAS