Rumah Terbuka Gawai STF Promosi Keunikan Pelancongan Komuniti Betong
BETONG: Rumah Terbuka Gawai Dayak anjuran Sarawak Tourism Federation (STF) 2026 di Rumah Panjang Engkeranji, Layar berjaya mengetengahkan keunikan produk pelancongan berasaskan komuniti serta budaya masyarakat Dayak kepada pelawat tempatan dan antarabangsa.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata penganjuran program seumpama itu membuka ruang lebih luas untuk mempromosikan produk pelancongan autentik Sarawak, khususnya di Bahagian Betong.
Menurut beliau, selain berpeluang merasai sendiri sambutan Gawai di rumah panjang, para pengunjung turut disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik sepanjang program berlangsung.
"Hari ini kita menyaksikan perarakan Gawai yang meriah dengan penyertaan lebih 2,000 peserta.
“Selain itu, para pengunjung juga dibawa melawat ke tapak-tapak tarikan bersejarah di Betong seperti Kubu Lily dan rumah ibadat tempatan," katanya semasa berucap dalam program tersebut, baru-baru ini.
Mengulas lanjut mengenai keunikan budaya masyarakat Dayak, Datuk Gerald Rentap memuji hospitaliti dan kemesraan yang ditunjukkan oleh penduduk Rumah Panjang Engkeranji dalam menyantuni kehadiran tetamu.
Jelasnya, pengalaman berada di rumah panjang ini sangat tulen di mana kemesraan penduduk menyambut tetamu dari pintu ke pintu mencerminkan semangat Gawai yang sebenar, sama seperti sambutan pada 1 Jun lalu.
Malah katanya, keunikan kebudayaan peribumi turut ditonjolkan melalui stesen-stesen makanan di sepanjang rumah panjang yang menyediakan pelbagai menu tradisional yang berbeza untuk dirasai oleh para pengunjung.
Beliau turut menekankan, Betong mempunyai potensi besar dalam sektor pelancongan eko (nature tourism) melalui keindahan bentuk muka bumi seperti kawasan pergunungan, laluan denai (trails), kawasan pertanian, dan sungai.
Rumah Terbuka Gawai Dayak dimulakan dengan Upacara Miring Niki ke Pengabang, iaitu satu upacara ritual tradisional masyarakat Iban yang dilakukan khusus bagi menyambut dan memohon keselamatan buat para tetamu yang datang berkunjung.
Sejurus selepas upacara ritual tersebut, suasana pekarangan rumah panjang digegarkan dengan perarakan sambutan tradisional Niki ke Pengabang yang dijayakan oleh seluruh penduduk Rumah Panjang Engkeranji bagi mengalu-alukan kedatangan para pengunjung ke ruai mereka.
Para tetamu kehormat turut menyaksikan rangkaian persembahan kebudayaan dan tradisional yang memukau dari Kelab Ranyai Gemilang, Kelab Ngepan Betong dan Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Betong.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran pelancong asing dari Amerika Syarikat, Jepun serta perwakilan daripada Kadazan Dusun Cultural Association Sarawak (KDCA). -EDISI UKAS