BETONG: Konsert Gawai Kaamatan 2026 berlangsung meriah dengan kehadiran 1,000 pengunjung di perkarangan Rumah Panjang Engkeranji, Layar pada Sabtu.
Ini terutamanya dengan acara kemuncak pakej pelancongan dan kebudayaan ‘Betong Gawai Dayak: Glamping, Parade, Open House & Concert’ yang mendapat sambutan hangat.
Konsert tersebut berjaya menampilkan keunikan budaya serta semangat perpaduan masyarakat pelbagai kaum menerusi persembahan hiburan dan kebudayaan yang berlangsung dalam suasana rumah panjang yang meriah.
Kehadiran Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Datuk Gerald Rentap Jabu serta Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu menyerikan acara berkenaan.
Kemuncak sambutan menyaksikan kedua-dua pemimpin tersebut mengetuai acara Countdown Gawai yang disusuli pertunjukan bunga api tepat tengah malam sebagai simbol kesyukuran, perpaduan dan semangat kebersamaan masyarakat Sarawak.
Konsert Gawai Kaamatan dianjurkan bagi meraikan semangat sambutan Gawai Dayak dan Kaamatan sambil menggalakkan perpaduan, pemeliharaan budaya serta pembangunan sektor pelancongan di Bahagian Betong.
Program ini menyatukan masyarakat tempatan dan pengunjung melalui muzik, persembahan kebudayaan serta pelbagai aktiviti perayaan dalam suasana rumah panjang yang unik dan meriah.
Memasuki tahun ketiga penganjurannya sejak diperkenalkan pada tahun 2024, konsert berkenaan terus berkembang sebagai antara acara tahunan yang dinanti-nantikan di Bahagian Betong, selain menjadi platform penting dalam memperkukuh penghargaan terhadap warisan budaya Sarawak yang kaya dan pelbagai.
Antara tarikan utama konsert ialah persembahan artis terkenal Sarawak, Hairee Francis, kumpulan muzik bertaraf antarabangsa Ad Adau, persembahan khas daripada TINOAMEE dari Indonesia, Datuk Francis Landong dari Sabah serta persembahan kebudayaan oleh Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) Sarawak. -EDISI UKAS