Peranan Wanita Semakin Penting Dalam Pembangunan Masyarakat
MERADONG: Peranan wanita dalam pembangunan masyarakat semakin penting dan perlu terus diperkasakan sejajar dengan sumbangan besar mereka dalam pelbagai aspek kehidupan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, wanita hari ini bukan sahaja memainkan peranan utama dalam institusi keluarga, malah turut menyumbang secara signifikan dalam bidang kerjaya, ekonomi dan aktiviti kemasyarakatan.
"Ahli-ahli Bahagian Wanita dan Kelas Tarian Wanita yang aktif dalam pelbagai program komuniti juga telah membantu mengeratkan hubungan sesama masyarakat serta mewujudkan suasana yang lebih harmoni dan bersatu padu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Penghargaan Hari Ibu anjuran Persatuan Foochow Daerah Meradong di sini pada Sabtu.
Tambahnya, sambutan Hari Ibu bukan sahaja bertujuan meraikan ibu, malah menjadi peringatan kepada masyarakat agar sentiasa menghormati ibu bapa, memupuk nilai kasih sayang serta mengukuhkan institusi keluarga.
Beliau berkata, penghargaan terhadap ibu tidak seharusnya terhad kepada sambutan Hari Ibu sahaja, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui kasih sayang, perhatian dan penghormatan dalam kehidupan seharian.
Sementara itu, bersempena dengan majlis berkenaan, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei Dato’ Sri Huang Tiong Sii telah menyalurkan Geran Khas Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM5,000 kepada Persatuan Foochow Daerah Meradong bagi menyokong pelaksanaan aktiviti dan pembangunan persatuan.
Datuk Ding turut mengumumkan sumbangan geran khas sebanyak RM3,000 kepada Pergerakan Wanita dan RM3,000 kepada Pergerakan Pemuda Persatuan Foochow Daerah Meradong bagi membantu memperkukuh pelaksanaan program serta aktiviti mereka pada masa hadapan. -EDISI UKAS