Orang Ramai Dinasihatkan Bertenang Hadapi Gangguan Bekalan Air 36 Jam
MIRI: Penduduk di bandar raya Miri dinasihatkan agar tidak melakukan pembelian panik menjelang gangguan bekalan air berjadual selama 36 jam yang akan berlangsung pada 10 dan 11 Jun ini.
Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang berkata orang ramai sebaliknya perlu membuat persediaan secara berhemah dan membeli bekalan air mengikut keperluan sebenar kerana bekalan air minuman dijangka mencukupi sepanjang tempoh gangguan tersebut.
Menurut beliau, pihaknya memahami kebimbangan penduduk yang mula mendapatkan bekalan air minuman sebagai persediaan menghadapi gangguan berkenaan, namun orang ramai tidak perlu menyimpan stok air botol secara berlebihan.
“Gangguan bekalan air yang bakal berlaku merupakan kerja penyelenggaraan yang telah dirancang dan dijangka berlangsung selama kira-kira 36 jam sahaja, bukannya untuk tempoh yang panjang.
“Oleh itu, orang ramai digalakkan membeli bekalan mengikut keperluan sebenar agar bekalan yang ada dapat dikongsi secara adil dengan keluarga lain dalam komuniti,” katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.
Beliau turut memaklumkan bahawa hasil komunikasi dengan pasar raya dan pembekal tempatan mendapati, para peniaga sedang giat menambah stok sedia ada serta mengatur penghantaran bekalan tambahan dari luar Miri bagi memenuhi permintaan pengguna.
Menurutnya, bekalan air minuman baharu juga akan terus tiba dalam beberapa hari akan datang dan orang ramai tidak perlu bimbang mengenai kekurangan bekalan.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan, kebanyakan isi rumah hanya perlu menyediakan bekalan air yang mencukupi untuk tujuan minuman dan memasak, manakala bagi kegunaan harian lain seperti mencuci dan membersihkan rumah, penduduk boleh menyimpan air lebih awal menggunakan baldi, bekas simpanan atau tangki air.
Adam Yii turut menyeru para peniaga dan peruncit supaya memainkan peranan serta tanggungjawab sosial masing-masing dengan mengekalkan harga jualan yang berpatutan serta tidak mengambil kesempatan daripada situasi tersebut dengan menaikkan harga secara berlebihan.
Tegasnya, kerjasama dan sikap bertanggungjawab daripada semua pihak amat penting bagi memastikan masyarakat dapat mengharungi kesulitan sementara itu dengan lancar.-EDISI UKAS