76 Projek Sekolah Bernilai RM4.53 Bilion Bukti Komitmen Kerajaan Perkasa Pendidikan Sarawak
DALAT: Komitmen kerajaan dalam memperkasakan sektor pendidikan di Sarawak terus diterjemahkan menerusi pelaksanaan 76 projek pembangunan dan naik taraf sekolah di seluruh negeri dengan nilai keseluruhan RM4.53 bilion.
Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Kapit Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, daripada jumlah tersebut, 25 projek sedang dalam pembinaan, manakala 27 projek telah siap termasuk di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dalat dan SMK Semop.
“Manakala, 24 projek lagi berada dalam peringkat perancangan dan persediaan pelaksanaan.
“Selain itu, tujuh lagi projek sekolah dijangka siap antara Jun hingga Disember tahun ini dengan kos keseluruhan RM223.64 juta,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Semula Bangunan Daif SMK Dalat dan SMK Semop, di SMK Dalat, pada Isnin.
Menyentuh mengenai SMK Dalat, Dato Sri Alexander memberitahu, pembinaan bangunan gantian bernilai RM27.2 juta itu berjaya disiapkan 10 hari lebih awal daripada jadual asal, iaitu pada 30 Disember 2025.
Bagi projek pembinaan bangunan gantian di SMK Semop pula, menurut beliau, ia telah disiapkan 164 hari lebih awal daripada jadual asal tanpa sebarang Lanjutan Masa (EOT) dan siap pada 16 Januari 2026 dengan jumlah keseluruhan bernilai RM10.56 juta.
“Kedua-dua projek ini dilaksanakan menggunakan teknologi Building Information Modelling (BIM) dan Industrialised Building System (IBS).
“Ini bagi memastikan pembinaan dapat disiapkan dengan lebih berkualiti, teratur dan cepat sekali gus membantu menyediakan persekitaran sekolah lebih selamat, lestari dan sesuai untuk proses pembelajaran,” jelasnya.
Dalam majlis itu, Dato Sri Alexander turut mengumumkan sumbangan berjumlah RM40,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Dalat dan SMK Semop, dengan setiap PIBG menerima RM20,000 untuk menyokong pelaksanaan aktiviti dan pembangunan pendidikan di kedua-dua sekolah berkenaan.
Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, Ahli Parlimen Tanjong Manis Dato Ir. Yusuf Abd Wahab serta Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan) Kementerian Pendidikan Malaysia Dato’ Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian.-EDISI UKAS