Penambahbaikan Sistem Percepat Proses EFS, Kadar Penyertaan Capai 93 Peratus
KUCHING: Penambahbaikan sistem permohonan Endowment Fund Sarawak (EFS) berjaya mempercepat tempoh pemprosesan daripada tiga hingga enam bulan kepada hanya satu hingga tiga bulan, sekali gus meningkatkan kecekapan penyampaian inisiatif kebajikan kerajaan negeri.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pelaksanaan sistem baharu yang bermula tahun ini merupakan satu pencapaian penting dalam memastikan lebih ramai anak Sarawak menerima manfaat tersebut dengan lebih cepat.
“Melalui sistem baharu ini, kita mensasarkan tempoh pemprosesan dapat dipendekkan lagi kepada hanya satu bulan bermula Julai nanti,” katanya semasa majlis penyerahan Endowment Fund Sarawak (EFS) dan Bantuan Ibu Bersalin (BIB) di Bangunan Baitulmakmur II, di sini pada Isnin.
Beliau menjelaskan, sebelum ini proses manual memerlukan pemohon berurusan dengan pelbagai agensi termasuk Jabatan Pendaftaran Negara bagi pengesahan status, sekali gus memanjangkan tempoh pemprosesan.
“Dengan sistem dalam talian, semua proses termasuk muat naik dokumen, semakan dan pengesahan dilakukan dalam satu platform, menjadikan proses lebih pantas dan efisien,” tambahnya.
Dalam pada itu, Dato Sri Fatimah memaklumkan bahawa sehingga 30 April 2026, sebanyak 154,648 permohonan telah diterima sejak EFS diperkenalkan pada 2019, dengan kadar penyertaan mencecah 93 peratus daripada jumlah yang layak.
Bagi tahun 2025 sahaja, sebanyak 24,315 permohonan diterima daripada 27,421 kelahiran berstatus ‘K’, bersamaan hampir 90 peratus kadar penyertaan.
Daripada jumlah tersebut, 17,597 akaun berjaya dibuka dalam tahun yang sama manakala selebihnya diselesaikan pada tahun ini termasuk kes-kes anomali.
Majlis berkenaan menyaksikan penyerahan EFS dan Bantuan Ibu Bersalin kepada beberapa penerima, antaranya Nurul Atiqkah Basri bersama suami Mohd Sharyezani Jairini dengan tiga anak iaitu Aryan Shafiq, Arfan Shazril dan Aidan Shamil.
Pasangan kedua, Nurbassillina Prescilla Bantin bersama suami Shahrulniza Farizan dengan dua anak iaitu Muhammad Shaqeef Hayden dan Muhammad Shakeel Hayder.
Seterusnya, Noradilaila Ramli bersama suami Wan Ardizie dengan dua anak iaitu Wan Mohammad Aryan dan Wan Mohammad Arfan.-EDISI UKAS