Pengurusan Kewangan Islam Perkukuh Kesejahteraan Keluarga dan Ekonomi Ummah
LIMBANG: Pengurusan kewangan Islam yang terancang mampu memperkukuh kesejahteraan keluarga serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi ummah yang lebih mampan.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap ADUN Bukit Kota, Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail berkata, aspek kewangan dalam Islam melangkaui soal perbelanjaan dan simpanan.
"Kewangan Islam turut menekankan nilai keberkatan, keadilan serta kebertanggungjawaban dalam setiap urusan kehidupan," katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Penangguhan Seminar Pengurusan Kewangan Keluarga Islam Peringkat Daerah Limbang Tahun 2026 pada Ahad.
Menurutnya, pengisian seminar tersebut meliputi pengurusan kewangan patuh syariah, zakat, wakaf dan ibadah haji sebagai asas membentuk sistem kewangan Islam yang kukuh.
“Zakat dan wakaf merupakan instrumen penting yang bukan sahaja membantu membasmi kemiskinan, malah menyokong pembangunan sosial serta ekonomi masyarakat Islam,” ujarnya.
Tambah beliau, seminar seumpama itu mampu meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai panduan Islam dalam mengurus kewangan peribadi dan kekeluargaan.
Beliau berharap program berkenaan dapat diteruskan serta diperluaskan ke kawasan luar bandar supaya lebih ramai masyarakat Islam mendapat manfaat.
Katanya, Kerajaan Sarawak sentiasa menyokong usaha pemerkasaan ilmu sebagai langkah memperkukuh pembangunan modal insan dan memperkasakan ekonomi ummah.
Hadir sama Pengarah Lembaga Tabung Haji Wilayah Sabah dan Sarawak Datuk Nurlaila Said, Timbalan Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak Iskandar Allan, Pengurus Tabung Haji Cawangan Limbang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Seminar Pengurusan Kewangan Keluarga Islam, Musapir Abdullah dan Ketua Bahagian Tabung Baitulmal Bahagian Limbang, Nor Nadia Abas.-EDISI UKAS