Bangunan PERKIM Lawas Siap Penghujung Bulan, Perkasa Program Komuniti Setempat
LAWAS: Pembinaan Bangunan PERKIM Lawas kini berada pada fasa akhir dan dijangka siap sepenuhnya menjelang penghujung bulan ini, sekali gus menyediakan kemudahan baharu bagi pelaksanaan pelbagai aktiviti keagamaan, pendidikan dan kemasyarakatan di kawasan tersebut.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, bangunan tersebut akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk sebuah dewan utama, bilik mesyuarat, ruang untuk kelas agama dan kelas mengaji, serta kemudahan sokongan lain bagi kegunaan masyarakat setempat.
“Bangunan ini turut menyediakan ruang untuk aktiviti komuniti seperti kelas mengaji, program keagamaan serta bengkel . Ia juga mempunyai kemudahan tambahan termasuk ruang seperti kantin atau premis kecil untuk aktiviti perniagaan kecil masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke tapak projek Bangunan PERKIM Lawas di Banting Lawas pada Ahad.
Tambah beliau, sebahagian besar kos pembinaan bangunan berkenaan adalah melalui sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) oleh Syarikat Tecktonic and Sons.
“Terima kasih kepada syarikat yang telah menyumbang melalui CSR dalam memastikan pembinaan bangunan PERKIM berjalan lancar dan mengikut jadual.
"Tahniah juga kepada PERKIM Lawas kerana kini memiliki bangunan sendiri yang mana mampu menampung kira-kira 200 orang pada satu-satu masa serta di kawasan yang strategik, yang pastinya akan memperkukuh pelaksanaan pelbagai program dan aktiviti masyarakat pada masa akan datang,” katanya.-EDISI UKAS