Level Up Fitness Jadi Jenama Kecergasan Sarawak Pertama Rentasi Laut China Selatan
KUCHING: Level Up Fitness terus mencipta sejarah apabila muncul sebagai jenama kecergasan pertama dari Sarawak yang berjaya mengembangkan operasinya merentasi Laut China Selatan dengan kehadiran cawangan di Semenanjung Malaysia.
Pengarah Eksekutif Level Up, Kenny Sia berkata perkembangan tersebut mencerminkan pertumbuhan pesat jenama tempatan itu yang bermula di Kuching kira-kira 16 tahun lalu sebelum berkembang kepada 20 cawangan di seluruh Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
Menurut beliau, pembukaan cawangan baharu di Petaling Jaya baru-baru ini menjadi satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkukuhkan kedudukan jenama kecergasan kelahiran Sarawak di peringkat nasional.
“Level Up Fitness kini beroperasi di 20 cawangan di seluruh Malaysia melibatkan Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
“Kami juga akan membuka dua lagi cawangan baharu tahun ini, termasuk di Westhill Point dan Pine Square di Kuching,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan pakaian seragam jurulatih daripada Under Armour dan Lea Sports Centre di Sarawak Plaza, di sini, pada Isnin.
Dalam perkembangan sama, Kenny berkata Level Up turut menyaksikan pertumbuhan ketara dalam tenaga kerja profesional kecergasan apabila kini menggaji kira-kira 20 jurulatih berbanding hanya tiga jurulatih ketika kerjasama bersama Lea Sports Centre bermula sekitar 14 tahun lalu.
Beliau percaya Level Up kini merupakan antara majikan terbesar bagi profesional kecergasan di Malaysia Timur, sekali gus mencerminkan perkembangan positif industri kecergasan di rantau ini.
Pada majlis tersebut, Lea Sports Centre menaja set lengkap uniform baharu kepada pasukan jurulatih Level Up yang kini dijenamakan semula di bawah jenama Train Me.
Menurut Kenny, penjenamaan semula itu dilaksanakan bagi memperluaskan akses kepada perkhidmatan latihan kecergasan, khususnya kepada individu yang memerlukan bimbingan profesional tetapi kurang selesa untuk menjalani latihan di gimnasium.
Katanya, ramai individu yang memerlukan bantuan kecergasan, termasuk golongan warga emas dan mereka yang dirujuk oleh doktor, masih berasa takut atau kurang yakin untuk memasuki persekitaran gimnasium.
“Melalui Train Me, mereka boleh mendapatkan khidmat jurulatih profesional di lokasi yang lebih sesuai dan lebih peribadi tanpa semestinya menjadi ahli gimnasium.
“Kami mahu memastikan lebih ramai masyarakat mendapat akses kepada latihan kecergasan yang berkualiti dan bersesuaian dengan keperluan mereka,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan semua jurulatih agar terus mempamerkan profesionalisme dan menjadi contoh kepada masyarakat dalam mengamalkan gaya hidup sihat.
Tegasnya, setiap jurulatih bukan sahaja mewakili jenama Level Up, Train Me, Lea Sports Centre dan Under Armour, malah berperanan sebagai duta gaya hidup sihat yang mampu memberi inspirasi kepada komuniti.-EDISI UKAS