Warisan Budaya Dayak Perlu Terus Dipelihara, Diwariskan Kepada Generasi Muda
MUKAH: Warisan budaya masyarakat Dayak perlu terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi muda agar identiti, adat resam serta nilai tradisi yang menjadi kebanggaan masyarakat itu tidak luput ditelan peredaran zaman.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata, sambutan Hari Gawai bukan sekadar menandakan berakhirnya musim menuai, malah merupakan simbol penting yang mencerminkan agama, budaya dan adat resam masyarakat Dayak.
Menurut beliau, dalam dunia yang semakin berkembang dan berubah, usaha memelihara adat resam, bahasa serta budaya perlu diperkukuhkan bagi memastikan warisan tersebut terus kekal relevan untuk generasi akan datang.
“Sambutan seperti ini bukan sahaja menyatukan masyarakat, malah menjadi platform untuk memperkenalkan serta meneruskan amalan budaya kepada generasi baharu,” katanya ketika berucap pada Program Ngabang Santai bersama ADUN Balingian sempena Perayaan Hari Gawai 2026 di Rh Dunstan Bee Malang, pada Khamis.
Dalam pada itu, Abdul Yakub turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang terus komited melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan demi kesejahteraan rakyat.
Katanya, sokongan berterusan kerajaan terhadap pembangunan luar bandar, pendidikan, ekonomi dan infrastruktur telah membawa manfaat besar kepada rakyat termasuk di Bahagian Mukah.
“Semangat perpaduan dan kestabilan politik yang dinikmati hari ini amat penting untuk memastikan agenda pembangunan dapat diteruskan demi kesejahteraan rakyat.
“Pembangunan yang sedang dan telah dilaksanakan perlu diteruskan supaya rakyat dapat menikmati kehidupan yang lebih baik pada masa hadapan,” ujarnya.
Beliau turut menyeru masyarakat agar terus mengekalkan semangat perpaduan serta memainkan peranan sebagai tonggak utama dalam usaha membangunkan negeri dan negara.
Hadir sama Penghulu Thomas Tayai, Penghulu Langi Telajan, Tuai Rumah Dunstan Bee Malang serta Pegawai Tadbir Pejabat Daerah, Nolin Gendang.-EDISI UKAS