LAKMNS, LAKIB Meterai Perjanjian Pembayaran Balik Dividen RM9.825 Juta
KUCHING: Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) dan Lembaga Amanah Kebajikan Islam Bintulu (LAKIB) memeterai perjanjian pembayaran balik dividen berjumlah RM9.825 juta yang akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh 10 tahun.
Melalui perjanjian itu, dana yang bakal diterima oleh LAKIB dijangka dapat memperkukuh kedudukan kewangan organisasi sekali gus memastikan pelaksanaan program kebajikan dan tanggungjawab sosial kepada masyarakat dapat diteruskan secara berterusan.
Majlis berkenaan disaksikan oleh Premier Sarawak yang juga Pengerusi LAKMNS, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg di sini pada Jumaat.
Simbolik penyerahan 'mock cheque' disempurnakan oleh Setiausaha Kehormat LAKMNS, Tan Sri Datuk Amar (Dr) Abdul Aziz Husain kepada Pengerusi LAKIB, Iskandar Turkee.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak merangkap Timbalan Pengerusi LAKMNS, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Pengerusi LAKIB, Dato Haidar Khan Asghar Khan, ahli-ahli lembaga LAKMNS serta Ketua Pegawai Eksekutif LAKMNS, Datu Abdul Hadi Abdul Kadir.
Majlis tersebut mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua institusi dalam memperkukuh pengurusan kewangan serta memastikan agenda kebajikan dan pembangunan ummah dapat dilaksanakan dengan lebih mampan pada masa hadapan. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ezzah Syafiqah
Foto: George S. Embie