5,675 Operasi Penguatkuasaan Dadah Dilaksana di Sarawak, 7,526 Individu Ditahan
KUCHING: Sebanyak 5,675 operasi penguatkuasaan berkaitan dadah dan penyalahgunaan substans telah dilaksanakan di seluruh Sarawak bagi tempoh Januari hingga Mei 2026 menerusi kerjasama bersepadu pelbagai agensi penguatkuasaan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, operasi tersebut telah membawa kepada penahanan seramai 7,526 individu atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah dan substans.
“Sebanyak 5,675 operasi penguatkuasaan telah dilaksanakan di seluruh Sarawak dari Januari hingga Mei tahun ini, yang membawa kepada penahanan seramai 7,526 individu atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah dan substans.
“Daripada jumlah tersebut, 350 individu ditahan kerana terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah dan substans, manakala 1,274 lagi ditahan atas kesalahan memiliki dadah dan substans.
“Selain itu, 5,902 individu didapati positif dalam saringan awal ujian air kencing yang dijalankan sepanjang operasi berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sisang media selepas memoengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Sehenti (OSC) Menangani Isu Dadah dan Substans (MIDS) di Wisma Bapa Malaysia, di sini pada Jumaat.
Dato Sri Fatimah menambah, Kuching merekodkan jumlah tangkapan tertinggi dan dikategorikan dalam zon merah dengan 2,080 kes, diikuti Miri sebanyak 906 kes, Bintulu dengan 787 kes dan Sibu pula sebanyak 776 kes.
Menurutnya lagi, pendekatan menangani isu dadah dan substans di Sarawak tidak hanya tertumpu kepada penguatkuasaan bagi memutuskan rantaian bekalan, malah turut memberi penekanan kepada aspek rawatan, pemulihan serta program kesedaran.
Jelasnya, selain Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN), Sarawak kini mempunyai 26 Pusat Sehenti Rawatan Ketagihan (OSCA) yang beroperasi di klinik kesihatan di seluruh negeri.
Dalam pada itu, beliau turut berkata
Fatimah berkata kerajaan negeri akan terus berunding dengan Kementerian Dalam Negeri bagi memperluaskan kemudahan PUSPEN di Sarawak berikutan keberkesanan program pemulihan yang dilaksanakan di pusat berkenaan.
Katanya, ketika ini Sarawak hanya mempunyai sebuah PUSPEN di Kuching dengan kapasiti yang terhad, justeru penambahan pusat pemulihan terutama di kawasan utara dan tengah negeri dilihat penting bagi memperluas akses kepada perkhidmatan rawatan dan pemulihan serta memenuhi keperluan yang semakin meningkat.
Beliau turut memaklumkan bahawa proses pemilihan tapak sedang dijalankan dan perkara tersebut akan terus disusuli bagi memastikan keperluan pemulihan penagihan dadah di negeri ini dapat dipenuhi dengan lebih berkesan.-EDISI UKAS