Pameran ‘Raja Kita’ Terima Sambutan, Dekatkan Masyarakat Dengan Sejarah Institusi Diraja
BETONG: Pameran “Raja Kita” sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Ke-17 Peringkat Sarawak Tahun 2026 menerima sambutan positif daripada pengunjung yang menyifatkannya sebagai platform terbaik dalam memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap sejarah dan institusi diraja negara.
Seorang pengunjung, Vincent Juma berkata, pameran tersebut memberi pendedahan kepada generasi muda mengenai sejarah raja-raja Melayu yang semakin kurang diketahui masyarakat hari ini.
Menurut beliau, bahan pameran yang dipaparkan termasuk gambar dan dokumentasi sejarah mampu meningkatkan pengetahuan pengunjung mengenai institusi diraja Malaysia dari dahulu hingga kini.
“Pameran ini memaparkan pelbagai kisah dan sejarah raja-raja kita di Malaysia dari dahulu sehingga sekarang.
“Golongan muda hari ini ramai yang kurang mengetahui sejarah tersebut, jadi apabila mereka melihat gambar dan bahan yang dipamerkan, ia memberi pengetahuan yang sangat baik kepada masyarakat di Betong,” katanya ketika ditemui pada Sabtu.
Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Jessica Jelika menyifatkan penganjuran pameran tersebut sebagai inisiatif yang amat bermanfaat kerana memberi peluang kepada masyarakat, khususnya penduduk di Betong, mengenali sejarah institusi diraja dengan lebih dekat.
Beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan setiap tahun serta tempoh penganjurannya dipanjangkan supaya lebih ramai pengunjung berpeluang hadir.
“Pameran seperti ini sangat bagus kerana memberi pendedahan kepada orang awam mengenai sejarah raja-raja di Malaysia.
“Kalau boleh, program seperti ini diteruskan setiap tahun dan tempohnya dipanjangkan sedikit kerana ada yang bekerja dan tidak berkesempatan untuk hadir. Saya juga berharap jadual program dapat disusun dengan lebih sesuai pada masa hadapan,” ujarnya.
Beliau turut menyambut baik pelbagai aktiviti yang diadakan sepanjang sambutan tersebut termasuk konsert rakyat yang berjaya menarik kehadiran masyarakat setempat.
Dalam perkembangan berkaitan, peniaga tempatan, Dayang Putri Faqhirah Abang Muhd Fhazil berkata, sambutan meriah sepanjang program berlangsung turut memberi limpahan manfaat kepada golongan usahawan kecil.
Menurut beliau, jumlah jualan yang dicatatkan meningkat berbanding beberapa acara terdahulu hasil kehadiran pengunjung dari dalam dan luar kawasan Betong.
“Jualan kami meningkat sepanjang program ini berlangsung dan sambutannya lebih meriah berbanding beberapa acara yang pernah diadakan sebelum ini.
“Bukan sahaja peniaga dari Betong, malah ada yang datang dari Spaoh, Debak dan Sri Aman untuk membuka gerai di sini. Kehadiran pengunjung yang ramai benar-benar membantu meningkatkan pendapatan peniaga kecil,” katanya.
Beliau berharap kerajaan Sarawak akan terus menganjurkan program berskala besar seperti itu pada masa akan datang kerana manfaatnya bukan sahaja dirasai oleh peniaga, malah turut memberi peluang kepada masyarakat dan pelajar menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan.
“Program seperti ini memberi manfaat kepada semua pihak kerana bukan sahaja membantu peniaga, malah turut menghidupkan suasana setempat serta menarik kehadiran masyarakat untuk bersama-sama memeriahkan sambutan,” tambahnya. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Gabriel Rommy
Gambar: Douglas Demong