452 Penduduk DUN Muara Tuang Terima Manfaat Program Bantuan Lesen Memandu B2
KOTA SAMARAHAN: Seramai 452 peserta daripada golongan B40 di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Muara Tuang menerima manfaat menerusi Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 Tahun 2026 yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat ADUN Muara Tuang dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sarawak.
Timbalan Speaker DUN Sarawak merangkap ADUN Muara Tuang, Dato Idris Buang berkata, inisiatif tersebut bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah memperoleh lesen memandu yang sah serta meningkatkan tahap kesedaran terhadap keselamatan jalan raya.
Beliau berkata, motosikal merupakan antara mod pengangkutan utama bagi penduduk di Muara Tuang dan Samarahan untuk ke tempat kerja, institusi pendidikan serta menjalankan aktiviti harian.
“Memiliki lesen memandu yang sah bukan sahaja memenuhi kehendak undang-undang, malah memberikan keyakinan kepada pengguna jalan raya serta mengelakkan mereka daripada berdepan risiko tindakan penguatkuasaan dan kemalangan akibat kurang pengetahuan mengenai peraturan jalan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 Tahun 2026 DUN Muara Tuang yang berlangsung di Dewan Suarah Kota Samarahan pada Sabtu.
Dato Idris menambah, program bagi motosikal bawah 250cc itu selari dengan matlamat Program MyLesen B2 dan MyLesen B2 Sekolah (MyB2S) yang memberi peluang kepada golongan B40, belia dan pelajar mendapatkan lesen tanpa menanggung kos yang tinggi.
Menurutnya, usaha berkenaan turut menyokong agenda keselamatan jalan raya menerusi pengurangan jumlah penunggang tanpa lesen dan perlindungan insurans, di samping meningkatkan peluang pekerjaan khususnya dalam sektor yang memerlukan lesen memandu sebagai syarat asas.
Beliau turut menasihati para peserta agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan tidak terlibat dengan aktiviti lumba haram atau gejala mat rempit yang boleh mengancam keselamatan diri serta pengguna jalan raya lain.
Sementara itu, Ketua Bahagian Kanan (Pengurusan dan Korporat) JPJ Negeri Sarawak, Christopher Alec Boniface Barau yang mewakili Pengarah JPJ Negeri Sarawak berkata, program berkenaan merupakan siri kedua pelaksanaannya di DUN Muara Tuang selepas mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada masyarakat setempat.
Beliau menjelaskan bahawa semua peserta tetap menjalani modul latihan, kursus pendidikan pemandu dan ujian yang sama seperti calon lain mengikut piawaian yang ditetapkan oleh JPJ bagi memastikan tahap kompetensi serta keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara.
Program yang bermula pada 11 April 2026 itu merangkumi Kursus Pendidikan Pemandu (KPP01), latihan litar dan ujian litar sebelum diakhiri dengan majlis penyerahan lesen kepada peserta yang berjaya pada 13 Jun 2026.
Turut diadakan cabutan bertuah pelbagai barangan elektrik serta hadiah utama berupa sebuah motosikal SM Sport 110 sebagai penghargaan kepada peserta.-EDISI UKAS