RoboClash Challenge 2026 Cungkil Bakat Teknologi Generasi Muda Sarawak Selaras PCDS 2030
SERIAN: RoboClash Challenge 2026 terus menjadi platform strategik dalam mencungkil dan membangunkan bakat teknologi generasi muda Sarawak selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) serta keperluan ekonomi masa depan yang dipacu oleh teknologi dan inovasi.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, penguasaan bidang robotik, kecerdasan buatan (AI) dan automasi kini menjadi keperluan penting dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan industri masa hadapan.
Menurut beliau, teknologi berkenaan memainkan peranan penting dalam pembangunan tenaga bersih termasuk hidrogen hijau, pemuliharaan alam sekitar serta pertanian pintar yang menjadi antara fokus pembangunan Sarawak.
“Robotik, AI dan automasi bukan lagi sesuatu yang hanya dibaca dalam buku teks atau yang berlaku di makmal-makmal besar di luar negara. Inilah teknologi sebenar yang sedang membentuk masa depan Sarawak ketika ini,” katanya ketika merasmikan RoboClash Challenge 2026 Peringkat Akhir di Dewan Masyarakat Serian pada Sabtu.
Pertandingan yang memasuki edisi ketiga itu dianjurkan di tiga lokasi iaitu Bintulu, Sri Aman dan Serian, dengan penyertaan lebih 350 pelajar dari seluruh Sarawak yang bersaing dalam pelbagai cabaran berasaskan robotik, dron dan penyelesaian masalah kreatif.
Pada peringkat akhir pertandingan, peserta berentap dalam empat kategori utama iaitu Sumo Robot Challenge, Mini Drone Obstacle Race, RoboMaster Challenge dan Drone Soccer Competition yang menguji kemahiran teknikal, strategi, kreativiti serta kerja berpasukan.
Dato Sri Roland Sagah menyifatkan penyertaan pelajar dari seluruh negeri dalam pertandingan itu sebagai potensi besar bakat teknologi yang dimiliki anak Sarawak tanpa mengira lokasi geografi atau latar belakang.
Beliau berkata, penganjuran RoboClash di beberapa bahagian membolehkan lebih ramai pelajar menyertai pertandingan tersebut, sekali gus memastikan pembangunan bakat teknologi dapat dilaksanakan secara inklusif di seluruh negeri.
Tambahnya, pertandingan sedemikian bukan sekadar medan persaingan, malah platform pembelajaran yang membolehkan pelajar mengaplikasikan ilmu yang dipelajari dalam situasi sebenar.
“Pertandingan seperti RoboClash amat penting kerana ia menguji apa yang dipelajari di dalam bilik darjah dalam situasi dunia sebenar. Apabila anda mereka bentuk robot, menyelesaikan masalah teknikal atau menyesuaikan strategi semasa pertandingan, itulah jenis pemikiran dan daya tahan yang diperlukan dalam Industri 4.0,” ujarnya.
Dato Sri Roland berkata peserta RoboClash hari ini merupakan generasi yang bakal membangunkan bandar pintar, sistem tenaga bersih serta teknologi baharu yang akan membentuk masa depan Sarawak.
Beliau yakin seumpama itu mampu memperkukuh agenda pembangunan bakat negeri dengan melahirkan lebih ramai jurutera, saintis, teknologis dan inovator tempatan yang bersedia menyumbang kepada pembangunan Sarawak menjelang 2030.
Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datu Adana Jed, dan Pemangku Naib Canselor University of Technology Sarawak (UTS) Prof Dr Mohammad Shahril Osman.-EDISI UKAS