Service Sarawak Lawas Perkasa Akses Perkhidmatan Digital Kerajaan Kepada Rakyat
LAWAS: Pusat Service Sarawak Lawas terus memperkukuh usaha memperluas akses perkhidmatan digital kerajaan kepada masyarakat menerusi Program Searah bersama Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang berlangsung di Pusat NADI Merapok pada Jumaat.
Program tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pelbagai kemudahan digital yang disediakan Kerajaan Sarawak, selain memperkenalkan peranan serta fungsi Service Sarawak sebagai pusat sehenti bagi memudahkan rakyat mengakses perkhidmatan kerajaan secara digital.
Antara pengisian utama program ialah penerangan mengenai permohonan Bantuan Ibu Bersalin (BIB) dan Endowment Fund Sarawak (EFS) yang kini boleh dilakukan secara dalam talian tanpa perlu melalui proses manual seperti sebelum ini.
Pendekatan tersebut membolehkan rakyat, khususnya ibu yang baru melahirkan anak serta ahli keluarga mereka, mengemukakan permohonan dengan lebih mudah, cepat dan efisien tanpa perlu berulang-alik ke agensi kerajaan untuk mendapatkan borang atau menguruskan dokumen secara fizikal.
Selain itu, program berkenaan turut menjadi platform untuk memperkenalkan kewujudan Pusat Service Sarawak Lawas kepada masyarakat setempat agar lebih ramai penduduk dapat memanfaatkan khidmat bantuan dan nasihat berkaitan perkhidmatan digital kerajaan.
Usaha berterusan itu selaras dengan aspirasi Kerajaan Sarawak untuk mempercepat transformasi digital sektor awam serta memastikan akses kepada perkhidmatan kerajaan dapat dinikmati secara lebih menyeluruh termasuk oleh masyarakat di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Melalui pendekatan tersebut, rakyat bukan sahaja dapat menikmati perkhidmatan kerajaan yang lebih cekap dan mesra pengguna, malah berupaya meningkatkan tahap literasi digital selaras dengan agenda pembangunan ekonomi digital Sarawak.-EDISI UKAS