Sarawak Terus Pelihara Keharmonian, Jadi Contoh Perpaduan Negara
BETONG: Sarawak akan terus mempertahankan nilai toleransi, kesederhanaan dan saling menghormati yang sekian lama menjadi tunjang kekuatan negeri ini sebagai model perpaduan dan keharmonian negara.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg berkata, aspirasi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dalam memperkukuh perpaduan nasional amat dekat dengan jiwa rakyat Sarawak yang sejak dahulu dikenali sebagai negeri yang meraikan kepelbagaian serta menjunjung semangat hormat-menghormati antara kaum dan agama.
Menurut beliau, rakyat Sarawak bukan sekadar hidup dalam suasana toleransi, malah benar-benar hidup sebagai sebuah keluarga besar yang mengamalkan nilai kebersamaan dalam kehidupan seharian.
“Rumah ibadat dibina bersebelahan, perayaan diraikan bersama dan semangat saling menghormati terus menjadi asas kehidupan rakyat kita.
“Keharmonian ini bukan berlaku secara kebetulan, tetapi hasil usaha berterusan semua pihak dalam memelihara persefahaman dan kebersamaan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai semasa Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Ke-17 Peringkat Sarawak Tahun 2026 di Dewan Panglima Rentap, Betong pada Sabtu.
Mengulas lanjut, beliau berkata majlis yang menghimpunkan pelbagai agama dan lapisan masyarakat itu bukan sekadar acara rasmi, sebaliknya mencerminkan kekuatan sebenar Sarawak sebagai contoh perpaduan kepada negara.
Menurutnya, masyarakat di negeri ini terus hidup aman dan bersatu walaupun terdiri daripada pelbagai latar belakang budaya, agama dan kepercayaan, selaras dengan hasrat Yang di-Pertuan Agong untuk melihat rakyat Malaysia hidup sebagai satu keluarga besar yang saling menghormati.
Pada masa sama, beliau menegaskan isu sensitif berkaitan agama, kaum dan institusi diraja atau 3R tidak seharusnya dimanipulasikan demi kepentingan sempit sehingga boleh menggugat keharmonian serta kestabilan negara.
Jelas beliau, pemilihan Betong sebagai tuan rumah sambutan rasmi tahun ini mencerminkan wajah sebenar Sarawak yang hidup dalam suasana harmoni dan penuh muafakat.
“Kewujudan masjid, gereja dan kuil yang berdiri berdekatan antara satu sama lain di kawasan tersebut menjadi simbol kepada semangat saling menghormati dan sokongan yang telah lama diamalkan oleh masyarakat setempat.
“Kerajaan Sarawak akan terus komited memelihara keharmonian antara kaum dan agama melalui pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang,” tambahnya.
Turut hadir Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Malcolm Mussen Lamoh, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee, Pengarah Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), Dato Georgina Apphia Ngau serta tetamu lain. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Gabriel Rommy
Gambar: Ameerul Syafiq