GPS Komited Dengar Suara Rakyat Melalui Pendekatan Turun Padang
SARIKEI: Pendekatan turun padang yang diamalkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menjadi bukti komitmen berterusan parti itu dalam memahami serta menyelesaikan isu rakyat tanpa mengira musim atau keadaan politik semasa.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar merangkap Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, khidmat kepada masyarakat sentiasa menjadi keutamaan kepimpinan GPS dan dilaksanakan sepanjang masa, bukan hanya apabila menjelang pilihan raya.
Menurut beliau, pemimpin dan jentera parti perlu sentiasa mendampingi rakyat bagi memastikan setiap masalah yang dihadapi dapat dikenal pasti serta ditangani dengan lebih berkesan.
“Perkhidmatan kepada rakyat tidak boleh dilakukan secara bermusim. Sebagai pemimpin dan anggota parti, kita perlu sentiasa berada bersama masyarakat serta memahami keperluan mereka dari semasa ke semasa.
“Pendekatan inilah yang menjadi amalan GPS selama ini dalam memastikan kebajikan rakyat terus terbela,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jamuan Makan Malam Simpulan Kasih di Dewan Serbaguna Kampung Seberang Sarikei, pada Sabtu.
Datuk Len Talif berkata, seluruh jentera parti perlu terus memperkukuhkan gerak kerja di peringkat akar umbi bagi memastikan hubungan yang terjalin dengan rakyat sentiasa kukuh dan erat.
Menurutnya, kesungguhan mendekati masyarakat membolehkan pelbagai isu serta keperluan penduduk disampaikan terus kepada kerajaan untuk tindakan susulan.
Beliau turut berkata, amalan turun padang juga menjadi platform terbaik untuk mendapatkan maklum balas secara langsung mengenai keberkesanan dasar dan program pembangunan yang dilaksanakan kerajaan.
“Apabila kita sentiasa berada di lapangan, kita lebih memahami kehendak rakyat dan dapat merancang tindakan yang bersesuaian dengan keperluan mereka,” ujarnya.
Tambah beliau, kerjasama erat antara kerajaan dan rakyat amat penting bagi memastikan agenda pembangunan dapat dilaksanakan secara lancar serta memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.
Beliau yakin semangat kebersamaan yang terus dipupuk antara GPS dan rakyat akan menjadi faktor penting dalam memastikan pembangunan serta kesejahteraan Sarawak dapat diteruskan pada masa hadapan.
Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ketua Wanita PBB Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) merangkap Timbalan Ketua Wanita PBB Sarawak Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Setiausaha Pergerakan Wanita PBB Sarawak merangkap Ahli Dewan Negara Senator Susan Chemerai Anding, Ahli Parlimen Tanjong Manis merangkap Ketua Cawangan N.46 Meradong Dato Yusuf Abd Wahab, serta Ahli Parlimen Igan merangkap Ketua Cawangan N.45 Repok Ahmad Johnie Zawawi.-EDISI UKAS