Majlis Simpulan Kasih Wanita PBB Perkukuh Ukhuwah, Rekod 68 Ahli Baharu
SARIKEI: Majlis Makan Malam Simpulan Kasih Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Zon 7 Sarikei berjaya memperkukuhkan hubungan antara ahli selain mencatatkan pertambahan 68 ahli baharu sepanjang penganjuran program ‘Kamek Prihatin, Kitak Penting’.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti merangkap Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, program itu menghimpunkan ahli wanita dari enam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Kuala Rajang, Semop, Repok, Meradong, Pakan dan Meluan.
Menurutnya, penganjuran majlis tersebut menjadi platform penting untuk mengeratkan hubungan antara cawangan, memperluaskan jaringan kerjasama serta memperkasakan peranan wanita di peringkat akar umbi.
“Program seperti ini memberi peluang kepada ahli dari pelbagai kawasan untuk berkumpul, bertukar pandangan dan mengukuhkan semangat kekitaan dalam parti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Simpulan Kasih Wanita PBB Zon 7 Sarikei di Dewan Serbaguna Kampung Seberang Sarikei, pada Sabtu.
Dato Sri Fatimah berkata, majlis berkenaan turut diadakan selepas Program ‘Kamek Prihatin Kitak Penting’ yang berlangsung pada sebelah siang dengan penglibatan pelbagai agensi kerajaan.
Katanya, program outreach tersebut memberi peluang kepada peserta mendapatkan maklumat berkaitan kebajikan, kesihatan, pembangunan komuniti serta pelbagai inisiatif kerajaan yang disediakan untuk rakyat.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada pasukan Wanita PBB dari ibu pejabat yang membantu melaksanakan pendaftaran ahli baharu sepanjang program berlangsung.
“Alhamdulillah, seramai 68 ahli baharu berjaya didaftarkan dan pencapaian ini antara yang terbaik pernah direkodkan dalam siri program zon sebelum ini,” ujarnya.
Menurut beliau, pertambahan keahlian itu mencerminkan keyakinan masyarakat terhadap perjuangan parti selain membuktikan keberkesanan program yang dilaksanakan untuk mendekati rakyat.
Tambahnya, program seumpama itu bukan sahaja mengukuhkan organisasi parti, malah menjadi wadah untuk membina hubungan lebih erat serta meningkatkan penglibatan wanita dalam pembangunan masyarakat.-EDISI UKAS