SARIKEI: Jentera akar umbi Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh kestabilan dan kejayaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam mengekalkan keyakinan rakyat.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ketua Wanita Parti Pesaka Bumi Bersatu (PBB) Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, peranan wanita amat penting dalam memastikan gerak kerja parti berjalan lancar sebelum, semasa dan selepas pilihan raya.
Menurut beliau, kejayaan yang dicapai PBB selama ini bukan hanya bergantung kepada kepimpinan parti, malah disokong oleh jentera yang tersusun, cekap dan sentiasa mendekati rakyat.
“Jentera wanita merupakan antara tulang belakang kekuatan parti. Sebab itu kita perlu terus mengekalkan prestasi dan komitmen dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Simpulan Kasih di Dewan Serbaguna Kampung Seberang Sarikei, pada Sabtu.
Beliau berkata, PBB berada pada kedudukan yang kukuh untuk terus meraih sokongan rakyat kerana memiliki kepimpinan yang jelas hala tuju serta sentiasa memberi fokus kepada pembangunan negeri.
Menurut Dato Sri Fatimah, kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah membawa pelbagai perubahan positif yang menyumbang kepada kemajuan serta meningkatkan pengiktirafan Sarawak di peringkat nasional serta antarabangsa.
Tambah beliau, rekod pencapaian kerajaan GPS dalam membangunkan negeri turut menjadi asas kepada keyakinan rakyat terhadap gabungan berkenaan.
“Rakyat melihat sendiri pelbagai pembangunan dan inisiatif yang dilaksanakan kerajaan. Sebab itu kepercayaan yang diberikan perlu terus dipelihara melalui kerja dan perkhidmatan yang berterusan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kekuatan GPS tidak dapat dipisahkan daripada peranan PBB sebagai parti teras dalam gabungan tersebut.
Sehubungan itu, beliau menyeru setiap anggota parti agar terus memperkukuhkan perpaduan dalaman serta memastikan jentera sentiasa bersedia menghadapi sebarang cabaran pada masa hadapan.
Ujarnya lagi, sokongan rakyat yang dinikmati ketika ini perlu diterjemahkan melalui khidmat berterusan agar PBB dan GPS terus kekal relevan serta menjadi pilihan masyarakat Sarawak.-EDISI UKAS