Bantuan Sosial Sarawak Perkukuh Jaringan Kebajikan Rakyat
SARIKEI: Pelaksanaan pelbagai inisiatif perlindungan sosial oleh Kerajaan Sarawak terus memberi manfaat kepada rakyat, merangkumi bantuan kepada bayi, ibu, pelajar, golongan rentan serta warga emas.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pelbagai program yang diperkenalkan membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara di setiap peringkat kehidupan.
Beliau berkata, antara inisiatif yang dilaksanakan ialah Endowment Fund Sarawak (EFS), Bantuan Ibu Bersalin (BIB), subsidi yuran tadika serta pelbagai skim bantuan kebajikan dan perubatan.
Katanya, sehingga April tahun ini, lebih 150,000 akaun EFS telah diwujudkan bagi membolehkan bayi yang layak menerima sumbangan RM1,000 daripada kerajaan negeri.
“Ibu yang layak turut menerima BIB sebanyak RM450 bagi setiap kelahiran, manakala keluarga berpendapatan RM7,000 ke bawah boleh memohon subsidi yuran tadika sehingga RM1,000 setahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program ‘Kamek Prihatin Kitak Penting’ Zon Sarikei, di Bangunan Pentadbiran Kerajaan Sarawak (IAC) Bahagian Sarikei, pada Sabtu.
Dato Sri Fatimah berkata, kerajaan negeri turut menyediakan pelbagai bantuan kepada golongan yang memerlukan termasuk bantuan kebajikan bulanan, bantuan perubatan serta sokongan khas kepada pesakit yang memerlukan rawatan tertentu.
Menurut beliau, usaha memperkukuh jaringan perlindungan sosial itu dilaksanakan seiring dengan pembangunan fizikal bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus diberi keutamaan.
“Pembangunan bukan hanya tertumpu kepada pembinaan infrastruktur, tetapi juga melibatkan usaha membantu rakyat yang memerlukan supaya mereka dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik,” ujarnya.
Tambah beliau, setakat ini lebih 56,000 penerima bantuan kebajikan direkodkan di seluruh Sarawak dengan jumlah perbelanjaan melebihi RM126 juta.
Menurutnya, kerajaan akan terus menyalurkan hasil pembangunan negeri kepada rakyat menerusi pelbagai program kebajikan dan inisiatif sosial yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.-EDISI UKAS