Sarawak Utama Pendekatan Seimbang Dalam Isu Pelarian
KUCHING: Kerajaan Sarawak terus mengekalkan pendekatan seimbang dalam menangani isu pelarian dengan mengutamakan nilai kemanusiaan di samping memastikan kepentingan rakyat serta kestabilan negeri sentiasa terpelihara.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Sarawak sentiasa bersimpati terhadap nasib rakyat Myanmar termasuk etnik Rohingya yang terpaksa meninggalkan negara mereka akibat konflik dan penindasan.
Menurut beliau, walaupun Sarawak tidak menerima penempatan pelarian secara besar-besaran, kerajaan negeri kekal komited dalam menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada mereka yang memerlukan tanpa mengira latar belakang.
“Kita sedih melihat penderitaan rakyat Myanmar yang terpaksa meninggalkan tanah air demi mencari perlindungan dan kehidupan yang lebih selamat.
“Pada masa sama, pengurusan pelarian perlu dilaksanakan secara teratur dan sistematik supaya kebajikan mereka dapat dijaga tanpa menjejaskan kesejahteraan rakyat tempatan,” katanya dalam sidang media di sini, pada Isnin.
Beliau berkata, pendirian Sarawak yang diumumkan sejak 2017 merupakan langkah proaktif bagi memastikan isu berkaitan pelarian dapat ditangani secara lebih terancang, berkesan dan mampan.
Tambah beliau, faktor geografi Sarawak yang unik serta keperluan untuk mengekalkan keharmonian sosial dan pembangunan negeri turut diambil kira dalam menentukan pendekatan tersebut.
Dalam pada itu, Dato Sri Abdul Karim menegaskan bahawa Sarawak sentiasa mengutamakan nilai kemanusiaan sebagaimana dibuktikan ketika pandemik COVID-19 apabila kerajaan negeri turut membantu warga asing dan individu yang terkandas akibat sekatan pergerakan serta penutupan sempadan.
“Kita membantu sesiapa sahaja yang berada dalam kesusahan. Ini menunjukkan Sarawak sentiasa mengamalkan nilai kemanusiaan dan kebajikan sejagat dalam setiap tindakan yang diambil,” ujarnya.
Beliau berharap sebarang usaha menerima atau menempatkan pelarian di negara ini dapat dilaksanakan secara berdaftar, terkawal dan mengikut prosedur yang jelas bagi memastikan kebajikan pelarian serta kepentingan rakyat dapat dipelihara secara serentak.
Tegas beliau, pendekatan yang mengimbangi nilai kemanusiaan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat perlu terus menjadi asas dalam menangani isu pelarian demi menjamin keharmonian serta kemakmuran negara pada masa hadapan.-EDISI UKAS