Industri Sarawak Perlu Ubah Proses Pengeluaran Selaras Keperluan Ekonomi Hijau
KUCHING: Industri di Sarawak perlu beralih kepada proses pengeluaran hijau secara menyeluruh dan tidak hanya bergantung kepada penggunaan tenaga hijau sekiranya mahu menghasilkan produk yang memenuhi piawaian kelestarian global.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, transformasi tersebut melibatkan keseluruhan rantaian pengeluaran termasuk penggunaan bahan mentah, teknologi serta proses pembuatan yang selaras dengan keperluan ekonomi rendah karbon.
“Dalam erti kata lain, bahan mentah yang digunakan juga perlu merupakan bahan hijau. Sebagai contoh, keluli yang digunakan dalam proses pengeluaran perlu dihasilkan berasaskan teknologi hijau.
“Apabila proses itu hijau, maka produk yang dihasilkan juga akan menjadi produk hijau,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian SWG Green Complex & Decarbon Hub di Demak Laut, di sini, pada Isnin.
Menurut Datuk Patinggi Abang Zohari, industri yang mengamalkan proses hijau turut mempunyai kelebihan dalam mendapatkan akses kepada pembiayaan kerana institusi kewangan kini semakin memberi keutamaan kepada projek dan produk yang memenuhi agenda pembangunan mampan.
Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Pengerusi SWG Energy Group Dato Sri Abang Abdul Karim Tun Datuk Abang Openg, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Sarawak Energy Berhad dan PETROS), Datuk Ibrahim Baki, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Dato Fazzrudin Abdul Rahman, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel serta dif kenamaan lain.-EDISI UKAS