Program Bahtera Sakinah Perkukuh Institusi Keluarga Islam
LAWAS: Seramai 150 peserta menyertai Program Bahtera Sakinah dan Wacana Munakahat Bahagian Limbang yang dianjurkan bagi memperkukuh institusi keluarga Islam melalui peningkatan kefahaman mengenai pengurusan rumah tangga, perkahwinan dan isu kekeluargaan berlandaskan syariat serta perundangan.
Pegawai Tadbir Pejabat Agama Islam Daerah Lawas Mohamad Ikram Jamil berkata, program anjuran Bahagian Kemajuan Keluarga Islam, Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) dengan kerjasama Pejabat Agama Islam Daerah Lawas itu bertujuan melahirkan masyarakat yang lebih memahami peranan dan tanggungjawab dalam membina keluarga yang harmoni serta sejahtera.
Menurut beliau, institusi keluarga yang kukuh merupakan asas penting dalam melahirkan masyarakat yang stabil, berakhlak dan berdaya tahan menghadapi pelbagai cabaran sosial semasa.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program Bahtera Sakinah dan Wacana Munakahat Bahagian Limbang yang berlangsung di Hotel Seri Malaysia pada Isnin.
“Kita mahu masyarakat bukan sahaja tahu cara membina rumah tangga, tetapi juga tahu cara memeliharanya, selain memahami isu-isu kekeluargaan dan perkahwinan mengikut syariah dan perundangan,” katanya.
Mohamad Ikram berkata sambutan yang diterima amat menggalakkan apabila program tersebut berjaya menghimpunkan peserta daripada pelbagai latar belakang termasuk ketua masyarakat, wakil jabatan dan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), persatuan wanita serta jurunikah sekitar daerah Lawas.
Katanya, program seumpama itu penting sebagai platform pendidikan dan kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan pengukuhan institusi keluarga dalam usaha melahirkan generasi yang berakhlak, bertanggungjawab dan berdaya saing.
Program berkenaan menampilkan tiga slot utama yang memberi fokus kepada aspek ibadah dan pendidikan kanak-kanak, pengurusan keluarga serta wacana munakahat yang membincangkan isu-isu berkaitan perkahwinan dan kekeluargaan dari perspektif Islam.
Menurut beliau, pengisian yang disampaikan oleh penceramah berpengalaman diharap dapat membantu peserta memperoleh pengetahuan yang lebih menyeluruh mengenai pengurusan keluarga, sekali gus meningkatkan keupayaan mereka dalam menangani cabaran kehidupan berumah tangga.
Beliau berharap ilmu dan panduan yang diperoleh menerusi program tersebut dapat dimanfaatkan serta dikongsi dengan masyarakat agar lebih banyak keluarga dapat dibentuk berteraskan konsep sakinah, mawaddah wa rahmah.
Katanya, keluarga yang kukuh dan sejahtera merupakan tunjang kepada pembentukan masyarakat yang harmoni serta pembangunan negara yang mampan.- EDISI UKAS