Pertandingan Bot Laju Dijangka Tarik Ribuan Pengunjung Ke Pesta Sebauh 2026
SEBAUH: Pertandingan Bot Laju Sebauh 2026 dijangka menjadi tarikan utama Pesta Sebauh 2026 dengan menghimpunkan peserta dari pelbagai bahagian di Sarawak, sekali gus berpotensi menarik kehadiran ribuan pengunjung ke daerah tersebut pada Julai depan.
Acara yang akan berlangsung di Sungai Kemena pada 11 dan 12 Julai itu merupakan antara program kemuncak dalam kalendar Pesta Sebauh 2026 yang dijadualkan berlangsung dari 3 hingga 12 Julai.
Pertandingan berkenaan bakal menyaksikan persaingan dalam enam kategori iaitu 5HP Open, 15HP Longboat Fiber (Tertutup), 18HP Tunnel, 30HP Dua Piston Tunnel, 30HP Tiga Piston Tunnel serta 40/50HP Tiga Piston Tunnel.
Penyertaan bagi pertandingan tersebut dibuka sehingga 6 Julai dan dijangka menerima sambutan menggalakkan daripada penggiat sukan bot laju dari seluruh Sarawak.
Selain menjadi platform mencungkil bakat dan mengetengahkan kemahiran peserta dalam sukan bot laju, penganjuran pertandingan itu turut dijangka memberi impak positif kepada sektor pelancongan dan ekonomi setempat menerusi peningkatan kehadiran pengunjung dari dalam dan luar Bahagian Bintulu.
Pertandingan Bot Laju Sebauh 2026 merupakan antara acara utama yang bakal memeriahkan Pesta Sebauh 2026 selain Pentas Rakyat, Pertandingan Ratu Ibu Kebaya, ‘Battle of The Band’ serta Pameran Motosikal Sebauh.
Pesta Sebauh 2026 yang dianjurkan oleh Pejabat Daerah Sebauh dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan komuniti setempat bertujuan mempromosikan daerah tersebut sebagai destinasi pelancongan, rekreasi dan kebudayaan yang berpotensi di wilayah tengah Sarawak.
Penganjuran pelbagai aktiviti sepanjang pesta berkenaan bukan sahaja memperkenalkan keunikan Sebauh kepada pengunjung, malah dijangka merancakkan aktiviti ekonomi tempatan melalui peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan penginapan, makanan, pengangkutan dan perniagaan kecil.
Dengan gabungan elemen sukan, kebudayaan dan pelancongan, Pesta Sebauh 2026 diyakini mampu memperkukuh kedudukan Sebauh sebagai antara destinasi acara komuniti yang semakin mendapat perhatian di Bahagian Bintulu. - EDISI UKAS