Borneo Tales Creative Hub Teroka Kerjasama Strategik Dengan UKAS
KUCHING: Borneo Tales Creative Hub bersama Etika Sdn Bhd meneroka potensi kerjasama strategik dengan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) menerusi kunjungan hormat yang diadakan di pejabat agensi tersebut, di sini pada Selasa.
Kunjungan berkenaan bertujuan memperkukuh hubungan profesional antara kedua-dua pihak selain membuka ruang kepada kerjasama masa depan dalam bidang komunikasi strategik, promosi jenama, pembangunan kandungan kreatif serta pemerkasaan industri kreatif tempatan.
Wakil Borneo Tales Creative Hub Lim Hui Ching berkata syarikat yang berpangkalan di Kuching itu berperanan sebagai agensi pemasaran dan perhubungan awam yang membantu mempromosikan jenama tempatan serta menyediakan sokongan dalam aspek penajaan dan pembangunan kempen komunikasi.
Menurut beliau, kunjungan tersebut turut menjadi platform untuk bertukar pandangan mengenai peluang kerjasama yang boleh diterokai bersama UKAS pada masa hadapan.
“Tujuan utama kami hadir hari ini adalah untuk mengadakan kunjungan hormat kepada UKAS serta mengucapkan terima kasih atas sokongan dan liputan yang diberikan kepada program-program yang kami anjurkan sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi kunjungan hormat tersebut.
Dalam pertemuan itu, Lim Hui Ching turut memperkenalkan Kit Perhubungan Awam (PR Kit) Pepsi edisi khas Gawai dan Kaamatan yang menampilkan reka bentuk hasil karya artis tempatan dari Sabah dan Sarawak.
Menurut beliau, inisiatif tersebut mencerminkan komitmen pihak korporat dalam mengetengahkan bakat kreatif tempatan menerusi platform pemasaran berskala besar, sekali gus memperluaskan pengiktirafan terhadap karya anak tempatan.
“Reka bentuk pada tin Pepsi edisi khas ini dihasilkan oleh artis tempatan dari Sabah dan Sarawak dan dilancarkan khas sempena kempen Gawai dan Kaamatan tahun ini,” katanya.
Sementara itu, wakil Etika Sdn Bhd Chong Ted Shyang berkata kunjungan berkenaan memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk saling mengenali dengan lebih dekat serta memperkukuh hubungan kerjasama yang telah terjalin sebelum ini.
“Lawatan ini memberi peluang kepada kami untuk berkenalan dan membina hubungan yang lebih rapat, bukan sekadar mengenali antara satu sama lain melalui urusan rasmi sebelum ini,” katanya.
Beliau turut berharap hubungan yang terjalin menerusi kunjungan tersebut dapat membuka lebih banyak peluang kerjasama antara sektor korporat, industri kreatif dan agensi kerajaan dalam mempromosikan Sarawak serta memperkasa bakat tempatan.
Kunjungan itu mencerminkan komitmen berterusan pelbagai pihak dalam memperkukuh jaringan kerjasama strategik bagi menyokong pembangunan industri kreatif, memperluas promosi budaya tempatan serta meningkatkan keterlihatan karya anak Sarawak dan Sabah di peringkat yang lebih luas.— EDISI UKAS
Disediakan oleh: Lonney Jinab
Foto: George S.Embie