CABCOM Tinjau Model Bandar Pintar & Tadbir Urus PBT Perak
IPOH: Jawatankuasa Khas Kabinet (CABCOM) meninjau amalan tadbir urus dan pengurusan bandar pintar yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di Perak sebagai sebahagian usaha mengenal pasti pendekatan terbaik yang boleh diadaptasi di Sarawak.
Lawatan penanda aras yang diketuai Pengerusi CABCOM, Datuk Dr Juanda Jaya melibatkan kunjungan ke Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bagi mendapatkan pendedahan mengenai aspek tadbir urus, pengurusan kewangan, pembangunan organisasi serta penyampaian perkhidmatan awam.
Antara tumpuan utama lawatan ialah kunjungan ke Ipoh Integrated Operation Centre (IIOC) di UTC Perak yang berfungsi sebagai pusat pemantauan bersepadu bandar raya.
Delegasi CABCOM diberi penerangan mengenai penggunaan teknologi dan sistem pemantauan dalam meningkatkan kecekapan pengurusan bandar serta memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Di MBI, delegasi turut didedahkan kepada pengurusan kewangan pihak berkuasa tempatan, termasuk aspek penyata kewangan, anggaran belanjawan dan pelaksanaan Projek Inovasi Fin@Syariah oleh Jabatan Perbendaharaan MBI.
Sementara itu, di MPT delegasi diberikan taklimat berhubung sistem tadbir urus, pengurusan operasi, sumber pendapatan serta strategi pembangunan yang dilaksanakan oleh majlis berkenaan.
Lawatan ke Taman Tasik Taiping turut memberi peluang kepada CABCOM meneliti pendekatan pengurusan dan penyelenggaraan kawasan rekreasi awam yang mampan.
Menurut Datuk Dr Juanda, lawatan tersebut membuka ruang kepada perkongsian pengalaman dan amalan terbaik yang boleh dijadikan rujukan dalam usaha memperkukuh tadbir urus, integriti dan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam di Sarawak.
Jelasnya, pendedahan kepada model pengurusan bandar pintar dan inovasi pentadbiran yang dilaksanakan di Perak mampu memberikan nilai tambah kepada agenda transformasi perkhidmatan awam serta pembangunan bandar yang lebih cekap dan responsif di Sarawak.-EDISI UKAS