Projek PRISMA Tingkat Kecekapan Penyampaian Perkhidmatan Pejabat Daerah Sebuyau
SEBUYAU: Projek kerja-kerja naik taraf kemudahan di Pejabat Daerah Sebuyau di bawah inisiatif Projek PRISMA bernilai RM100,000 berjaya disiapkan dan diserahkan dalam sesi serahan siap yang diadakan di Pejabat Daerah Sebuyau pada Selasa.
Projek tersebut dilaksanakan bagi menaik taraf kemudahan sedia ada di pejabat berkenaan demi mewujudkan persekitaran kerja yang lebih selesa, selamat dan kondusif, sekali gus meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat setempat.
Sesi serahan siap itu dihadiri oleh Timbalan Pengarah Unit Pembangunan dan Penyelarasan Pelaksanaan (SDO) Wan Fadillah Wan Ahmad dan wakil Pegawai Daerah Sebuyau Kelvin Unggin.
Wan Fadillah dalam majlis itu merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat atas komitmen dan kerjasama yang diberikan sehingga projek tersebut berjaya disiapkan mengikut spesifikasi, skop kerja dan tempoh yang telah ditetapkan.
Beliau berharap kemudahan yang telah dinaik taraf itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh warga Pejabat Daerah Sebuyau dalam memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih cekap, berkesan dan mesra rakyat.
Menurut beliau, pelaksanaan projek seperti ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memastikan kemudahan kerajaan sentiasa berada pada tahap terbaik bagi menyokong kelancaran operasi pentadbiran serta memenuhi keperluan rakyat.
Sementara itu, sesi berkenaan turut disusuli dengan lawatan pemeriksaan di lokasi projek bagi memastikan semua kerja yang telah dilaksanakan memenuhi keperluan pihak pengguna sebelum proses serahan siap dimuktamadkan. -EDISI UKAS