BDA Perhebat Usaha Kurangkan Pembaziran Makanan Di Bintulu
BINTULU: Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) memperhebat usaha mengurangkan pembaziran makanan dan meningkatkan pengasingan sisa di punca menerusi penubuhan Fasiliti SisaSMART@Bintulu (BDA-PPWS).
Pengurus Besar BDA, Datu Muhamad Yakup Kari berkata, isu sisa pepejal dan pembaziran makanan semakin ketara di Bintulu apabila sejumlah besar sisa makanan, sisa dapur, bahan organik dan bahan kitar semula dihasilkan setiap hari daripada isi rumah, komuniti, premis perniagaan, sekolah dan pejabat.
Menurutnya, tanpa pengurusan yang berkesan, sebahagian besar sisa berkenaan akan berakhir di tapak pelupusan sekali gus meningkatkan tekanan terhadap alam sekitar dan kos pengurusan bandar.
“Fasiliti ini bukan sekadar pusat pemprosesan sisa, tetapi juga berfungsi sebagai pusat pendidikan komuniti, ruang demonstrasi teknologi, platform latihan dan medium perkongsian ilmu berkaitan amalan pengurangan sisa, pengkomposan, kitar semula dan pemulihan sumber.
“Melalui fasiliti ini, masyarakat berpeluang melihat sendiri bagaimana sisa boleh diurus secara lebih sistematik dan lestari.
“Pengalaman secara langsung seperti ini jauh lebih berkesan dalam membentuk perubahan sikap dan amalan berbanding kempen kesedaran semata-mata,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Fasiliti SisaSMART@Bintulu (BDA-PPWS): Transformasi Pengurusan Sisa Lestari di premis Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Daerah Bintulu-Tatau pada Selasa.
Fasiliti yang diwujudkan menerusi kerjasama BDA, Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) dan PPWS itu menyediakan platform pembelajaran komuniti berkaitan pengasingan sisa, pengkomposan, kitar semula, pengurangan sisa makanan dan pemulihan sumber.
Datu Muhamad Yakup berkata, inisiatif berkenaan turut disokong penggunaan aplikasi KitarNow bagi memudahkan aktiviti pengumpulan dan pengurusan bahan kitar semula selain memperkukuh amalan ekonomi kitaran dalam kalangan masyarakat.
Sementara itu, Pengerusi Negeri PPWS, Dato Norhyati Mohd Ismail berkata, penglibatan wanita dan organisasi komuniti amat penting dalam membentuk budaya kelestarian yang bermula dari rumah sebelum berkembang ke peringkat masyarakat.
“Inisiatif ini menunjukkan bahawa wanita dan organisasi komuniti boleh menjadi agen perubahan yang kuat dalam membina amalan lestari.
“Melalui SisaSMART@Bintulu, kami berharap lebih ramai keluarga, sekolah dan komuniti setempat akan terdorong untuk mengurangkan sisa, mengasingkan bahan boleh dikitar semula dan menyokong usaha pengkomposan,” katanya.
Beliau berkata, PPWS komited menyokong pelaksanaan program berkenaan serta berharap model SisaSMART@Bintulu dapat diperluaskan ke kawasan lain di Sarawak bagi memperkukuh budaya pengurusan sisa lestari dalam kalangan masyarakat.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee, Ketua Projek Towards Zero Food Waste in Bintulu, Dr Keeren Sundara Rajoo, Pegawai Tugas-Tugas Khas Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Steven Kong Kai Seng selaku wakil Ahli Parlimen Bintulu serta Pemanca Masyarakat Melayu Bahagian Bintulu, Awang Merais Awang Ismail.-EDISI UKAS