Pesta Daro Jadi Platform Perkasa Pembangunan dan Ekonomi Setempat
DARO: Pesta Daro 2026 dijangka menjadi platform penting dalam memperkukuh pembangunan sosioekonomi daerah ini menerusi pelbagai program yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat setempat.
Bagi memastikan kelancaran penganjuran acara tersebut serta lawatan kerja rasmi Premier Sarawak pada Julai depan, satu Mesyuarat Penyelarasan Lawatan Kerja Rasmi Premier Sarawak dan Pesta Daro 2026 telah diadakan di Pejabat Daerah Daro, pada Selasa.
Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr. Safiee Ahmad dan melibatkan penyelarasan aspek logistik, program serta persediaan lokasi bagi menjayakan acara berkenaan.
Pesta Daro 2026 yang akan berlangsung dari 16 hingga 26 Julai depan dijadual menampilkan lebih 30 aktiviti merangkumi sektor ekonomi, keusahawanan, pendidikan, sukan, kesihatan, kebudayaan, hiburan dan keagamaan.
Penganjuran pesta tersebut bukan sahaja bertujuan mengeratkan hubungan masyarakat, malah menjadi medium untuk mempromosikan potensi Daro sebagai destinasi yang mempunyai prospek pembangunan serta peluang ekonomi yang semakin berkembang.
Majlis perasmian pesta dijadual disempurnakan oleh Premier Sarawak pada 17 Julai depan.
Dalam lawatan rasmi tersebut, Premier Sarawak turut dijadual merasmikan Masjid Kampung Tebaang yang baharu serta melancarkan Projek Rumah Mampu Milik di kawasan Skim Pembesaran Kampung (SPK) Kampung Lemang Pek, Kampung Tengah dan Kampung Pangtray.
Pelaksanaan projek-projek tersebut dilihat mampu meningkatkan kualiti hidup rakyat serta menyokong agenda pembangunan luar bandar yang menjadi keutamaan Kerajaan Sarawak.
Turut hadir pada mesyuarat tersebut ialah Residen Bahagian Mukah, Bujang Rahman Seli; Pegawai Daerah Daro, Zul Usup serta Jurutera Bahagian Jabatan Kerja Raya (JKR) Mukah, Ts. Awang Dasuki Awang Dol.-EDISI UKAS