Pendidikan dan Sukan Perlu Bergerak Seiring Lahirkan Generasi Berdaya Saing
MERADONG: Pendidikan dan sukan perlu bergerak seiring sebagai medium penting dalam melahirkan generasi muda yang seimbang, berdisiplin serta mampu bersaing dalam pelbagai bidang pada masa hadapan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, kecemerlangan akademik sahaja tidak mencukupi tanpa pembentukan sahsiah, disiplin dan daya tahan yang dapat dipupuk menerusi penglibatan aktif dalam bidang sukan.
Menurut beliau, kejohanan sukan sekolah bukan sekadar platform mencungkil bakat atlet muda, malah menjadi medan membentuk nilai kepimpinan, semangat berpasukan, komitmen dan ketahanan diri dalam kalangan murid.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penutupan Rasmi Kejohanan Sukan Olahraga 11 Tahun Ke Bawah (11TKB) dan 12 Tahun Ke Bawah (12TKB) Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Meradong Tahun 2026 di Kompleks Sukan Bintangor, pada Selasa.
Datuk Ding turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Meradong, jawatankuasa pengelola, para guru, pegawai teknikal, sukarelawan serta semua pihak yang telah memastikan kejohanan tersebut berlangsung dengan lancar dan berjaya.
Katanya, penyertaan seramai 369 atlet daripada 32 sekolah di seluruh daerah Meradong mencerminkan semangat kesukanan yang tinggi dalam kalangan murid serta komitmen berterusan pihak sekolah dan ibu bapa dalam menyokong pembangunan bakat anak-anak.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada lima sekolah pengelola bersama iaitu SK Sungai Selidap, SK Tanjung Bundung, SK Bukit Papit, SK Sungai Sian dan SJK(C) Ming Shing atas kejayaan menganjurkan kejohanan tersebut.
Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa setiap peserta merupakan pemenang kerana berjaya menampilkan semangat juang dan kesungguhan sepanjang kejohanan berlangsung.
Beliau turut berharap lebih ramai atlet muda dari daerah Meradong dapat diketengahkan ke peringkat lebih tinggi sehingga berpeluang mewakili Sarawak dan negara pada masa hadapan.
Sebagai tanda sokongan terhadap pembangunan sukan di daerah itu, Datuk Ding mengumumkan sumbangan Geran Khas Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM5,000 bagi menjayakan penganjuran kejohanan berkenaan.
Turut hadir Timbalan Pegawai PPD Meradong, Nassarudin Ibrahim dan Guru Besar SK Selidap merangkap Pengerusi Pengelola, Semanto Ahi. - EDISI UKAS