Lebih 700 Peserta Ambil Bahagian Dalam MRGEC 2026 Pertama Di Sarawak
KUCHING: Lebih 700 peserta melibatkan pakar profesional, ahli akademik, tenaga mahir, pemain industri serta penyelidik mengambil bahagian dalam Malaysian Regional Geotechnical Engineering Conference (MRGEC) 2026 yang julung kali diadakan di Sarawak.
Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, jumlah penyertaan tersebut jauh melebihi jangkaan awal dan mencerminkan kepentingan industri pembinaan, khususnya dalam bidang kejuruteraan geoteknikal.
Menurut beliau, sambutan yang memberangsangkan itu turut membuktikan kesungguhan pemain industri untuk bersama-sama mencari penyelesaian terhadap cabaran pembangunan infrastruktur yang semakin kompleks.
"Kita berharap segala objektif yang ditetapkan dapat dicapai sepanjang dua hingga tiga hari persidangan ini berlangsung.
"Seperti yang dimaklumkan, terdapat banyak pengetahuan dan pengalaman yang boleh dikongsi dalam bidang ini.
"Yang lebih penting ialah bagaimana segala ilmu, kepakaran dan penemuan yang dibincangkan dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan projek yang memberi manfaat kepada rakyat sehingga ke peringkat akar umbi," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Malaysian Regional Geotechnical Engineering Conference (MRGEC) 2026 di sebuah hotel terkemuka, di sini, pada Rabu.
Tambahnya, bertemakan 'Resilient Ground, Sustainable Future', MRGEC2026 memberi tumpuan empat bidang utama kejuruteraan geoteknikal iaitu 'Innovation In Geotechnic and Site Investigation', 'Slope Stability and Landslide', 'Foundation' serta 'Ground Improvement'.
Dato Sri Alexander menambah, persidangan ini bertujuan menyediakan platform bagi perkongsian inovasi, pengetahuan dan teknologi Selain memperkenalkan aplikasi teknikal moden dalam kejuruteraan geoteknikal.
Persidangan ini yang merupakan kolaborasi antara Kementerian Kerja Raya, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan JKR Sabah melibatkan seramai 33 penceramah daripada pelbagai agensi dan organisasi selain menampilkan 45 tapak pameran yang disertai oleh penyedia perkhidmatan, pembekal serta penggerak industri geoteknikal.
Hadir sama, Pengarah JKR Sarawak Datu Dr Cassidy Morris dan Timbalan Pengarah JKR Sabah Mohammad Safri Abdul Hadi. -EDISI UKAS