14 Penerima Anugerah Maal Hijrah Sarawak 1448H Diiktiraf Atas Sumbangan Kepada Ummah
MIRI: Seramai 14 individu, institusi pendidikan, masjid dan keluarga menerima Anugerah Maal Hijrah Peringkat Sarawak 1448H/2026M sebagai pengiktirafan tertinggi terhadap kecemerlangan serta sumbangan mereka dalam memperkasa pembangunan ummah, pendidikan, dakwah dan kesejahteraan masyarakat di negeri ini.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebagai penghargaan kepada penerima yang telah menunjukkan komitmen dan dedikasi cemerlang dalam bidang masing-masing.
Bagi kategori Anugerah Penyelidikan dan Pembangunan, pengiktirafan diberikan kepada Prof. Madya Ir. Ts. Dr Siti Kudnie Sahari, manakala Norhaza Ahmad Redzuan Abdullah menerima Anugerah Pendakwah.
Masjid Al-Ghazali, Kuching pula menerima Anugerah Pengurusan dan Pentadbiran Masjid, sementara Mohd Syukri Abdullah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Penjawat Awam Islam.
Dalam kategori Anugerah Penjawat Awam Bukan Islam, anugerah disampaikan kepada Datu Kueh Lei Poh atas sumbangannya dalam memperkukuh keharmonian dan kerjasama antara agama di Sarawak.
Keluarga Laman Yasim menerima Anugerah Keluarga Cemerlang, manakala Nurul Cleo Sharmeen Roslam diumumkan sebagai penerima Anugerah Belia.
Bagi kategori Anugerah Saudara Kita, Helmi Abdullah menerima anugerah bagi kategori lelaki, manakala Zainab Sato Abdullah bagi kategori wanita.
Dalam bidang pendidikan, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Ahmad Zaidi (TUNAZ) menerima Anugerah Sekolah Agama Menengah, sementara Sekolah Kebangsaan Agama (SKA) MIS Sri Aman menerima Anugerah Sekolah Agama Rendah.
Turut menerima pengiktirafan ialah Nurul Shazwani Mohamad Rashdan bagi Anugerah Pelajar Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Josh Hamid Doharome Suparno bagi Anugerah Pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Hanies Nadhrah Nehal bagi Anugerah Pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Majlis anugerah tersebut merupakan antara acara utama sempena Sambutan Maal Hijrah 1448H/2026M Peringkat Sarawak yang berlangsung di Stadium Tertutup Miri pada Rabu.
Majlis turut diserikan dengan bacaan ayat suci al-Quran oleh Johan Qariah Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2026, Nur Syakura Mohamad Musa, sesi tadabbur al-Quran serta persembahan nasyid.
Penganjuran anugerah berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Sarawak dalam menghargai kecemerlangan, kepimpinan dan pengorbanan individu yang menjadi inspirasi kepada masyarakat, selaras dengan semangat hijrah yang menekankan perubahan ke arah kemajuan, perpaduan dan pembangunan insan. -EDISI UKAS