Umat Islam Perlu Terajui Transformasi Sarawak Berasaskan Ilmu, Teknologi & Perpaduan
MIRI: Umat Islam di Sarawak diseru terus memainkan peranan penting dalam memacu transformasi negeri ke arah kemajuan berteraskan ilmu, teknologi dan perpaduan demi memastikan Sarawak kekal berkembang sebagai wilayah maju, mampan dan makmur.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, sambutan Maal Hijrah bukan sekadar menandakan permulaan tahun baharu dalam kalendar Islam, sebaliknya mengingatkan umat Islam kepada peristiwa hijrah Rasulullah SAW yang menjadi titik perubahan besar dalam sejarah dan tamadun manusia.
Menurut beliau, semangat hijrah perlu diterjemahkan dalam konteks semasa melalui usaha membangunkan Sarawak agar mampu menyesuaikan diri dengan perubahan global yang dipacu oleh kemajuan teknologi serta cabaran ekonomi dunia.
“Peranan masyarakat Islam bersama masyarakat bukan Islam amat penting dalam membina Sarawak yang lebih mampan dengan mengambil kira perubahan teknologi, inovasi serta keperluan menyesuaikan diri dengan perkembangan semasa.
“Dunia hari ini berhadapan pelbagai cabaran termasuk perubahan iklim yang menjejaskan kehidupan manusia, sektor pertanian dan ekonomi. Oleh itu, kita perlu bersedia menghadapi perubahan ini dengan ilmu dan kebijaksanaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah 1448H/2026M Peringkat Sarawak yang berlangsung di Stadium Tertutup Miri pada Rabu.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Menyentuh perkembangan ekonomi global, Datuk Patinggi Abang Zohari menjelaskan dunia kini sedang melalui peralihan besar daripada pergantungan kepada bahan api fosil kepada sumber tenaga baharu yang lebih lestari dalam usaha mengurangkan pelepasan karbon.
Katanya, Sarawak berada pada kedudukan strategik untuk memainkan peranan penting dalam transformasi tersebut memandangkan negeri ini memiliki kelebihan sebagai pengeluar tenaga elektrik boleh diperbaharui selain mempunyai sumber minyak dan gas yang signifikan.
“Pada persidangan hidrogen Asia Pasifik yang diadakan baru-baru ini, Sarawak diiktiraf sebagai sebuah ‘Petrostate’ yang unik kerana menggabungkan kelebihan sebagai pengeluar tenaga elektrik dan sumber petroleum serta gas.
“Ini memberikan peluang besar kepada Sarawak untuk muncul sebagai pemain penting dalam ekonomi baharu dunia,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa pendidikan kekal menjadi asas utama pembangunan negeri, justeru Kerajaan Sarawak terus memperluaskan akses pendidikan tinggi kepada anak-anak Sarawak termasuk dalam kalangan umat Islam.
Menurutnya, penekanan terhadap penguasaan ilmu selaras dengan tuntutan Islam yang menggalakkan umatnya menuntut ilmu tanpa mengira sempadan dan lokasi.
Sehubungan itu, beliau mengajak umat Islam agar terus memperkukuh perpaduan, menjauhi perpecahan serta memberikan tumpuan kepada agenda pembangunan negeri demi kesejahteraan seluruh rakyat Sarawak.
Hadir sama anakanda Premier Sarawak, Dayang Norjihan Abang Johari, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dan isteri, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan isteri, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dan isteri, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Mual Suaud serta Residen Bahagian Miri merangkap Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pengelola Majlis Perhimpunan Maal Hijrah Peringkat Sarawak 2026, Galong Luang.
Turut hadir Ketua-ketua Jabatan serta pemimpin masyarakat setempat. -EDISI UKAS