Sarawak Dipilih Tuan Rumah Tilawah Al-Quran Kebangsaan 2027, Iktiraf Komitmen Perkasa Syiar Islam
MIRI: Pemilihan Sarawak sebagai tuan rumah Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 2027 mencerminkan pengiktirafan terhadap komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkasa pembangunan Islam serta memperkukuh syiar Islam di peringkat nasional.
Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS), Datuk Misnu Taha berkata, kepercayaan yang diberikan kepada Sarawak untuk menganjurkan acara berprestij tersebut membuktikan kemampuan negeri ini menjadi lokasi pelbagai program Islam berskala besar yang menghimpunkan umat Islam dari seluruh negara.
Menurut beliau, semangat hijrah yang diangkat menerusi tema Sambutan Maal Hijrah 1448H/2026M, ‘Ummah Maju Makmur’, perlu diterjemahkan melalui usaha memperkukuh ilmu, perpaduan dan pembangunan modal insan yang berteraskan nilai-nilai Islam.
"Semangat hijrah yang menjadi tema Sambutan Maal Hijrah 1448H/2026M, ‘Ummah Maju Makmur’, perlu diterjemahkan melalui usaha memperkasakan ilmu, perpaduan dan pembangunan modal insan berteraskan nilai-nilai Islam.
"Sarawak yang terkenal dengan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama mempunyai keunikan tersendiri dalam mempamerkan nilai toleransi serta keharmonian yang selari dengan semangat yang dibawa oleh Rasulullah SAW melalui Piagam Madinah," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah 1448H/2026M Peringkat Sarawak yang berlangsung di Stadium Tertutup Miri pada Rabu.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Turut hadir Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg serta barisan pemimpin negeri.
Datuk Misnu menambah, agenda pembangunan ummah di Sarawak turut diperkukuh menerusi pelbagai inisiatif di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) dan Perancangan Strategik Pembangunan Ummah (PSPU) yang memberi penekanan kepada aspek pendidikan, pembangunan insan dan kesejahteraan masyarakat.
Menurut beliau, penganjuran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan nanti dijangka menjadi platform penting dalam menyemarakkan kecintaan terhadap al-Quran, selain memperkenalkan Sarawak sebagai destinasi yang berjaya mengimbangi kemajuan pembangunan dengan pengukuhan nilai-nilai Islam.
"Acara berprestij tersebut turut membuka peluang kepada rakyat dari seluruh negara untuk menyaksikan sendiri kemajuan Sarawak serta keunikan budaya dan keharmonian masyarakatnya yang menjadi kebanggaan negeri ini.
"Sarawak juga dijangka menerima kehadiran peserta, pegawai, anggota jemaah hakim serta pengunjung dari seluruh Malaysia, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan negeri ini sebagai antara pusat perkembangan syiar Islam yang progresif dan inklusif di negara ini," katanya. -EDISI UKAS