Papan Pantun DBP Semarakkan Penghayatan Bahasa & Sastera di Gedong
GEDONG: Pemasangan papan pantun oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di beberapa lokasi strategik sekitar Gedong menjadi inisiatif kreatif dalam memperkukuh penghayatan masyarakat terhadap bahasa Melayu serta warisan sastera negara.
Program tersebut diketuai Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr. Hazami Jahari bersama Pegawai Daerah Gedong, Jamain Wahab, pada Rabu.
Dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Daerah Gedong, inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan DBP untuk mendekatkan masyarakat dengan seni sastera melalui pendekatan yang lebih mesra komuniti dan mudah diakses.
Papan pantun yang dipasang bukan sahaja memperindah landskap persekitaran, malah berfungsi sebagai medium penyampaian mesej pendidikan, nasihat serta nilai-nilai murni kepada masyarakat.
Pantun yang dipaparkan di ruang awam itu diharap dapat menarik minat masyarakat, khususnya generasi muda, untuk lebih menghargai khazanah sastera Melayu yang kaya dengan unsur kebijaksanaan, kreativiti dan nilai budaya.
Inisiatif tersebut turut mencerminkan komitmen DBP dalam memartabatkan bahasa kebangsaan dengan memperluaskan penggunaannya dalam ruang kehidupan seharian, sekali gus menjadikan bahasa dan sastera lebih dekat dengan masyarakat.
Dengan adanya kemudahan itu, Gedong bukan sahaja tampil lebih menarik sebagai destinasi komuniti, malah turut mengetengahkan identiti bahasa dan budaya Melayu kepada penduduk serta pengunjung. - EDISI UKAS