Pembangunan Inklusif Pastikan Komuniti Rumah Panjang Tidak Terpinggir
SIBU: Permintaan dan keperluan baharu yang dikemukakan penduduk rumah panjang akan diteliti bagi memastikan setiap isu yang dihadapi dapat ditangani secara berkesan dan berterusan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, beliau sentiasa mengalu-alukan maklum balas daripada rakyat kerana ia penting dalam membantu kerajaan mengenal pasti keperluan sebenar masyarakat di peringkat akar umbi.
“Saya sentiasa mengalu-alukan maklum balas dan permintaan daripada rakyat. Peranan saya adalah untuk mendengar, menilai keperluan mereka dan mengambil tindakan yang sewajarnya jika berkemampuan.
“Kami akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi menangani isu yang dihadapi komuniti,” katanya ketika ditemui pemberita semasa lawatan Ngabang Gawai Dayak di Rumah Jok Igon pada Rabu.
Beliau menambah, aspek infrastruktur dan kebajikan masyarakat luar bandar akan terus menjadi keutamaan menerusi pelaksanaan pembangunan yang inklusif dan menyeluruh.
Beliau turut memaklumkan bahawa peruntukan berjumlah RM250,000 telah disalurkan sebelum ini bagi kerja-kerja menaik taraf dan membaik pulih Rumah Jok Igon untuk meningkatkan keselesaan serta kesejahteraan penduduk.
Tambah beliau, kerjasama merentasi kawasan pilihan raya amat penting bagi memastikan pembangunan dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh tanpa dibatasi sempadan geografi.
“Apa yang penting ialah rakyat mendapat manfaat dan komuniti luar bandar terus maju seiring dengan pembangunan di seluruh Sarawak,” ujarnya.-EDISI UKAS