Perarakan Karnival Selangau Tarikan Baharu Promosi Identiti dan Budaya Tempatan
SIBU: Perarakan Karnival Selangau yang diperkenalkan buat julung kalinya bakal menjadi antara tarikan utama Karnival Selangau 2026 yang akan berlangsung dari 24 hingga 26 Julai ini di Pasar Baru, Pekan Selangau.
Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS), Kaunselor Sempurai Petrus Ngelai berkata perarakan yang dijadualkan berlangsung pada pagi hari terakhir karnival itu bertujuan mempromosikan identiti serta keunikan budaya masyarakat Selangau kepada pengunjung.
“Perarakan ini penting untuk kita mempromosikan identiti Selangau dan pada masa sama mempamerkan kebudayaan penduduk-penduduk Selangau,” katanya pada sidang media karnival berkenaan di pejabat MDLBS, di sini, pada Khamis.
Menurut beliau, perarakan tersebut dijangka menarik perhatian pelancong dan penduduk tempatan untuk hadir memeriahkan karnival berkenaan.
Selain itu, beliau berkata, pertandingan Kumang dan Keling yang akan diadakan pada hari penutupan turut menjadi antara acara utama yang mampu menonjolkan imej serta identiti Selangau.
Jelasnya, pertandingan itu bukan sahaja menjadi tarikan kepada pengunjung, malah berperanan menonjolkan warisan budaya yang menjadi kebanggaan masyarakat setempat.
Dalam perkembangan sama, Kaunselor Sempurai berkata acara ‘Raft Safari’ yang memasuki edisi ketujuh tahun ini akan terus menjadi program ikonik Karnival Selangau dan diharapkan mendapat sokongan berterusan daripada masyarakat.
“Kita juga telah mengadakan satu pusingan ‘Borneo Raft Safari’ yang melibatkan beberapa edisi di tempat lain sebagai usaha memperluaskan lagi program ini,” katanya.
Antara acara dan aktiviti lain yang akan turut diadakan ialah pertandingan ‘Main Adat Asal Iban’, futsal, pertandingan menyumpit, karaoke dan pelbagai aktiviti lain.-EDISI UKAS