Duta Besar Hungary Ke Malaysia Lawat BCM, Pelajari Sejarah Dan Budaya Sarawak
KUCHING: Duta Besar Hungary ke Malaysia, Dr Sandor Sipos yang sedang dalam rangka lawatan kerja ke Sarawak berkesempatan mengadakan lawatan ke Muzium Budaya Borneo (BCM) untuk mendalami sejarah dan budaya Sarawak.
Mengiringi beliau semasa lawatan pada Khamis ialah Timbalan Ketua Misi Hungary, Kamilla Balla, Konsul Kehormat Hungary, Dato Damien Chua serta tetamu lain.
Sepanjang lawatan, beliau meninjau pelbagai galeri pameran yang memaparkan sejarah, budaya dan warisan masyarakat Sarawak.
Beliau cukup tertarik melihat koleksi artifak serta pameran interaktif yang mengetengahkan keunikan pelbagai etnik yang membentuk identiti negeri ini.
Selain memberi peluang kepada delegasi Hungary untuk mengenali Sarawak dengan lebih dekat, lawatan itu juga menjadi landasan bagi memperkukuh hubungan dan pertukaran budaya antara kedua-dua pihak.
Terdahulu pada sebelah pagi, Dr. Sandor mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi di Astana Negeri Sarawak. - EDISI UKAS