Padang Bolasepak Sintetik Kampung Sagah Bakal Jadi Pemangkin Pembangunan Sukan Komuniti
KUCHING: Penduduk Kampung Sagah bakal menikmati kemudahan sukan yang lebih moden dan berkualiti menerusi pembinaan Padang Bolasepak Sintetik yang sedang giat dilaksanakan di bawah peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Tupong.
Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman telah mengadakan lawatan ke tapak projek berkenaan pada Khamis bagi meninjau perkembangan semasa serta memastikan pelaksanaannya berjalan lancar mengikut jadual dan spesifikasi yang ditetapkan.
Menurut beliau, projek tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh kemudahan sukan dan rekreasi di peringkat komuniti demi meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Katanya, penyediaan padang sintetik itu bukan sahaja memberi kemudahan yang lebih selesa kepada penduduk, malah berpotensi menjadi platform melahirkan lebih ramai bakat sukan dalam kalangan belia setempat.
“Apabila siap kelak, kemudahan ini akan menjadi pusat aktiviti komuniti yang mampu menggalakkan gaya hidup sihat, mengeratkan hubungan masyarakat serta memperkukuh pembangunan sukan akar umbi di kawasan ini,” katanya.
Dalam lawatan tersebut, beliau turut menerima taklimat daripada pihak pelaksana mengenai kemajuan semasa projek serta beberapa aspek teknikal berkaitan pembinaan padang berkenaan.
Pembinaan Padang Bolasepak Sintetik Kampung Sagah dijangka memberi impak positif kepada pembangunan sosial komuniti setempat selain menyediakan kemudahan sukan yang lebih berkualiti dan berdaya tahan untuk kegunaan jangka panjang.-EDISI UKAS