Vienna Jadi Rujukan Sarawak Rancang Limbang-Lawas Sebagai Bandar Sempadan Mampan Menjelang 2035
VIENNA: Kerajaan Sarawak menjadikan pengalaman dan amalan terbaik pembangunan bandar di Vienna sebagai rujukan penting dalam merancang transformasi Limbang dan Lawas sebagai bandar sempadan yang mampan, berdaya saing dan berdaya huni menjelang 2035.
Usaha tersebut dilihat selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk memperkukuh pembangunan wilayah utara sebagai pintu masuk strategik pertumbuhan ekonomi rentas sempadan, selain memastikan keseimbangan antara kemajuan ekonomi, kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, lawatan rasmi delegasi Sarawak ke Austria merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri dalam menyokong pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menekankan kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial, kelestarian alam sekitar, inovasi dan pembangunan berasaskan data.
Berucap semasa majlis makan malam yang dianjurkan oleh Kedutaan Malaysia di Vienna pada Khamis, beliau merakamkan penghargaan kepada pihak kedutaan atas layanan serta sokongan yang diberikan sepanjang program lawatan delegasi Sarawak di Austria.
Menurut beliau, lawatan ke Aspern Seestadt memberi pendedahan yang amat bernilai mengenai bagaimana sebuah bandar moden dapat dibangunkan secara menyeluruh melalui integrasi perumahan, aktiviti komersial, pengangkutan awam, kawasan hijau dan kemudahan komuniti dalam satu kerangka pembangunan yang komprehensif.
“Lawatan ke Aspern Seestadt amat relevan kerana ia menunjukkan bagaimana projek pembangunan bandar moden mampu menggabungkan perumahan, pengangkutan awam, aktiviti komersial, kawasan hijau, kemudahan komuniti dan reka bentuk bandar pintar dalam satu perancangan yang menyeluruh,” katanya.
Beliau menambah, pendekatan tersebut amat sesuai dijadikan rujukan dalam penyediaan Pelan Tempatan Limbang-Lawas 2035 bagi mewujudkan bandar sempadan yang lebih lestari, berdaya tahan dan mempunyai jaringan perhubungan yang cekap untuk menyokong pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat.
Delegasi Sarawak turut mengadakan lawatan ke Loji Hidroelektrik Freudenau yang memperlihatkan bagaimana infrastruktur tenaga boleh diperbaharui dapat diintegrasikan dengan pengurusan sungai, perlindungan alam sekitar dan pembangunan bandar secara mampan.
Sementara itu jelasnya, antara hasil utama yang diharapkan daripada lawatan tersebut ialah mengenal pasti pendekatan perancangan yang sesuai untuk diterapkan dalam pembangunan Limbang dan Lawas, melibatkan aspek guna tanah bersepadu, pembangunan bandar mampan, tenaga boleh diperbaharui, pembangunan kawasan tebing sungai, infrastruktur hijau, kemudahan awam serta strategi pelaksanaan yang berkesan.
Menurut beliau, pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh daripada Vienna akan membantu Sarawak merangka pembangunan Limbang dan Lawas secara lebih holistik sebagai bandar sempadan yang kompetitif, moden dan mampan.
Pada masa sama, usaha tersebut diyakini mampu memperkukuh keselamatan tenaga jangka panjang, meningkatkan daya tahan alam sekitar serta merancakkan pembangunan ekonomi wilayah utara Sarawak sejajar dengan agenda pembangunan negeri menjelang 2030.
“Apa yang kita pelajari di Vienna hari ini bukan sekadar model pembangunan bandar, tetapi panduan berharga dalam membentuk masa depan Limbang dan Lawas sebagai bandar sempadan yang progresif, lestari dan berdaya saing di rantau ini,” katanya.-EDISI UKAS