Operasi Pembenihan Awan Lancar, Tumpuan Kepada Kawasan Tadahan Utama
KUCHING: Operasi pembenihan awan hari pertama yang dilaksanakan bagi meningkatkan paras air di kawasan tadahan utama negeri ini berjalan lancar apabila lebih 1,500 liter larutan garam dilepaskan ke dalam sistem awan pada Jumaat.
Operasi yang mengambil masa kira-kira dua jam 30 minit itu melibatkan kawasan Empangan Batang Ai, Empangan Bengoh dan Simunjan.
Misi dimulakan di kawasan Lubok Antu dengan tumpuan kepada Empangan Batang Ai yang kini berada pada paras ‘Drought Event & Emergency Level 1’, iaitu 102.36 meter atas paras laut (masl), berbanding paras operasi normal melebihi 105 masl.
Pesawat milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengambil masa lebih 30 minit melakukan penerbangan berulang di ruang udara sekitar empangan bagi memastikan proses pembenihan awan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Operasi kemudiannya diteruskan ke kawasan Simunjan dan Empangan Bengoh yang turut berdepan cuaca panas dan kering sehingga menjejaskan bekalan air di kawasan tadahan.
Kehadiran awan yang mencukupi di ketiga-tiga lokasi berkenaan membolehkan proses pembenihan dilaksanakan dengan baik sekali gus melancarkan pelepasan larutan garam ke dalam sistem awan.
Operasi pembenihan awan dijadual diteruskan pada Sabtu dan Ahad melibatkan beberapa kawasan lain termasuk Empangan Bakun, Empangan Murum, Matang, Simunjan dan Gerugu sebagai usaha meningkatkan taburan hujan serta menambah simpanan air di kawasan tadahan strategik negeri ini.-EDISI UKAS