JAIS Laksana Pelupusan 1,802 Kilogram Abu Al-Quran Mengikut Ketetapan Fatwa
KUCHING: Sebanyak 1,802 kilogram abu bahan dan teks yang mengandungi ayat suci Al-Quran dilupuskan menerusi kaedah pelepasan ke Laut China Selatan dalam satu operasi pemuliaan yang dilaksanakan di Perairan Kuching bagi memastikan kesucian kalamullah terus terpelihara mengikut syarak dan ketetapan fatwa.
Ketua Bahagian Unit Al-Quran Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Ustaz Abdul Rahim berkata, operasi berkenaan merupakan program pertama dilaksanakan di selatan Sarawak pada skala besar, selepas pelaksanaan kaedah sama yang dijalankan di negeri ini sejak 2017.
Beliau berkata, abu tersebut terhasil daripada proses pembakaran bahan dan kertas Al-Quran yang rosak sebelum dibawa ke lokasi pelepasan sebagai langkah terakhir dalam proses pemuliaan Al-Quran.
“Sebanyak 1,802 kilogram abu Al-Quran daripada kertas yang telah rosak dan dibakar dibawa ke sini untuk dilepaskan ke Laut China Selatan. Proses ini adalah berdasarkan fatwa kebangsaan yang memutuskan bahawa Al-Quran yang telah rosak hendaklah dimuliakan mengikut kaedah yang ditetapkan syarak,” katanya ketika ditemui media semasa operasi berkenaan pada Sabtu.
Menurut beliau, proses pelepasan abu tersebut merupakan peringkat akhir dalam pengurusan dan pemuliaan bahan yang mengandungi ayat suci Al-Quran yang tidak lagi boleh digunakan.
Tambahnya, Sarawak menggunakan kaedah khas menerusi beg mesra alam AQ-01, yang setakat ini hanya dilaksanakan di negeri tersebut dan berbeza dengan kaedah yang digunakan di negeri-negeri lain.
“Kaedah yang digunakan di Sarawak ini adalah yang terbaik setakat ini. Bagaimanapun, kita mengakui proses ini perlu terus ditambah baik dari semasa ke semasa bagi memastikan pengurusan pemuliaan Al-Quran dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” ujarnya.
Sebanyak 212 beg kertas khas mesra alam AQ-01 digunakan dalam operasi pelepasan tersebut yang melibatkan abu daripada pelbagai jenis bahan suci yang diproses di pusat-pusat pemuliaan Al-Quran di seluruh Sarawak.
Majlis pelepasan itu turut mendapat kerjasama pelbagai agensi termasuk Lembaga Sungai Sarawak, Pasukan Polis Marin Wilayah 5 Sarawak, Jabatan Laut Malaysia Wilayah Sarawak, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sarawak serta beberapa agensi berkaitan lain. -EDISI UKAS