Peranan Aktif UiTM Dalam Pembangunan Komuniti Sediakan Pengalaman Pembelajaran Berkualiti
KUCHING: Peranan aktif Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak dalam pembangunan komuniti bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat, malah menyediakan pengalaman pembelajaran berkualiti kepada mahasiswa melalui penglibatan secara langsung di lapangan.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata, pendekatan yang dilaksanakan menerusi Program Jalinan Kasih Komuniti: Sihat, Sejahtera dan Lestari di Kampung Bako membuktikan komitmen UiTM Sarawak dalam melahirkan graduan yang seimbang dari segi akademik, kemahiran dan nilai sosial.
"Kepentingan program seumpama ini dalam memupuk perpaduan serta memberikan impak positif kepada penduduk Kampung Bako.
"Ia bertepatan dengan konsep pembelajaran sepanjang hayat dalam pendidikan moden yang menekankan peningkatan ilmu, kemahiran dan nilai positif," katanya ketika menyempurnakan majlis penutupan program berkenaan, di Kampung Bako pada Sabtu.
Tambahnya, program seperti ini bukan sahaja memberi manfaat secara langsung kepada komuniti melalui penglibatan bersama, malah turut menerapkan nilai-nilai murni dan integriti dalam kalangan pelajar
Program bersiri ini yang telah bermulai dari 9 Mei 2026 sehingga 20 Jun 2026, menampilkan pelbagai aktiviti berfokuskan Sukan Rakyat, eSport, Pameran Akademik @Jom Masuk UiTM, Petandingan Mewarna, Pertandingan Menganyam Ketupat dan Gotong Royong Memasak bersama pelbagai lapisan umur komuniti di Kampong Bako.
Aktiviti kelestarian seperti penanaman pokok bunga hiasan dan lukisan mural berteraskan alam sekitar turut diadakan.
Datuk Dr Hazland memberitahu, program ini selari dengan aspirasi Sarawak untuk memastikan kelestarian alam sekitar dan menjadikan Sarawak sifat bersih menjelang 2050 dan selari dengan PCDS 2030.
Turut hadir, Rektor UiTM Sarawak Profesor Dr Firdaus Abdullah serta Timbalan Rektor Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri UiTM Cawangan Sarawak Profesor Ir Dr Juferi Idris. -EDISI UKAS