Diesel Bersubsidi Turun Kepada RM2.10 Seliter Mulai Julai Ini
BINTULU: Rakyat Malaysia bakal menikmati harga diesel bersubsidi yang lebih rendah apabila Kerajaan MADANI mengumumkan penurunan harga bahan api itu kepada RM2.10 seliter di seluruh negara bermula Julai 2026.
Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah tersebut dilaksanakan menerusi pembaharuan penyasaran subsidi diesel yang menggunakan mekanisme berasaskan MyKad bagi memastikan subsidi kerajaan dinikmati sepenuhnya oleh rakyat Malaysia.
Menurut beliau, pelaksanaan mekanisme baharu itu akan menyeragamkan harga dan kaedah pembelian diesel bersubsidi di seluruh negara, sekali gus mengurangkan ketirisan serta aktiviti penyeludupan yang menyebabkan kerugian besar kepada negara.
“Rakyat Malaysia yang memiliki kenderaan diesel akan menikmati harga RM2.10 seliter melalui pengesahan MyKad, manakala bukan warganegara dan pihak yang tidak layak perlu membeli diesel pada harga tanpa subsidi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Cek Susulan Penukaran Status Pelabuhan Bintulu Daripada Pelabuhan Persekutuan kepada Pelabuhan Negeri di Pelabuhan Bintulu, di sini, pada Ahad.
Dato Seri Anwar menjelaskan, pembaharuan tersebut amat penting dalam situasi ketidaktentuan geopolitik semasa yang memberi tekanan kepada bekalan dan harga minyak global, khususnya susulan konflik yang berlaku di Asia Barat.
Katanya, perbezaan ketara antara harga diesel bersubsidi dan harga pasaran tanpa subsidi selama ini telah membuka ruang kepada aktiviti penyeludupan dan penyalahgunaan subsidi termasuk oleh warga asing.
Melalui pelaksanaan baharu itu, harga diesel di Sabah dan Sarawak akan diselaraskan dengan harga di Semenanjung Malaysia, sekali gus menamatkan pemberian subsidi kepada bukan warganegara yang sebelum ini turut menikmati bahan api bersubsidi.
Dalam masa yang sama, rakyat Sabah dan Sarawak yang menggunakan kenderaan diesel akan menikmati pengurangan harga daripada RM2.15 seliter kepada RM2.10 seliter, manakala rakyat di Semenanjung terus mendapat manfaat melalui sistem subsidi bersasar yang lebih cekap.
Perdana Menteri turut menegaskan bahawa kerajaan kekal komited memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara melalui dasar subsidi yang lebih mampan, adil dan berkesan tanpa menjejaskan kedudukan fiskal negara.
Maklumat lanjut mengenai pelaksanaan pembaharuan penyasaran subsidi diesel tersebut akan diumumkan oleh Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada Isnin.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri Malaysia Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Professor Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Barisan Menteri Kerajaan Persekutuan dan Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, timbalan-timbalan menteri, ketua-ketua jabatan dan ketua masyarakat setempat.-EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Firdaus Materang
Jurugambar: Mohamad Rais