Karnival Balau Galak Budaya Hidup Sihat Menerusi Fun Walk Costume 2026
DALAT: Karnival Balau terus menjadi platform memupuk budaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat menerusi penganjuran Program Fun Walk Costume 2026 yang berlangsung meriah di sini, pada Ahad.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah menyempurnakan pelepasan para peserta sebagai simbolik permulaan program sebelum turut sama menyertai aktiviti tersebut bersama penduduk setempat.
Program yang melibatkan laluan sejauh kira-kira tiga kilometer itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat yang tampil dengan pelbagai kostum kreatif dan berwarna-warni, sekali gus menambah kemeriahan suasana Karnival Balau.
Penganjuran aktiviti berkenaan bukan sahaja memberi peluang kepada masyarakat melakukan aktiviti fizikal secara santai, malah menjadi medium untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga kesihatan serta mengamalkan gaya hidup aktif.
Selain itu, program tersebut turut memperkukuhkan hubungan silaturahim dan semangat kebersamaan dalam kalangan komuniti melalui penyertaan aktif masyarakat dalam aktiviti rekreasi yang dianjurkan.
Program seperti ini dilihat wajar diteruskan sebagai usaha berterusan melahirkan masyarakat yang sihat, aktif dan sejahtera selaras dengan aspirasi pembangunan komuniti di Sarawak.-EDISI UKAS